fbpx

Hampir Semua Pusat Penempatan Banjir di Pekan Kini Ditutup

Hampir Semua Pusat Penempatan Banjir di Pekan Kini Ditutup

Hampir Semua Pusat Penempatan Banjir di Pekan Kini Ditutup

Alhamdulillah, keadaan banjir yang melanda daerah Pekan di Pahang kini semakin pulih. Ramai dari mangsa-mangsa banjir kini mula pulang ke rumah masing-masing, dan hanya tinggal beberapa buah pusat penempatan sahaja yang masih dibuka.


Relawan-relawan HALUAN terus menabur bakti kepada mangsa-mangsa banjir. Sehingga tengahari tadi, empat orang relawan medik dari Kelab Kesihatan Haluan (KKH) telah mengadakan rawatan kesihatan di Kg Baru Cenderawasih, Sg Miang. Sebahagian dari penduduk di kawasan Sg Miang yang terlibat dengan bencana banjir kini mula kembali ke rumah masing-masing. Justeru relawan medik telah membuat pemeriksaan susulan kepada mereka, di samping tidak ketinggalan memberi rawatan kepada mereka yang tidak terlibat dengan bencana banjir. Seramai 130 orang telah mendapatkan rawatan, kebanyakannya melibatkan kes demam, selsema, batuk dan gatal-gatal.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan bangunan awam dan rumah kediaman giat dijalankan oleh relawan-relawan HALUAN di Pekan. Hari ini, 2 pasukan menyumbang bakti dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan di dua kawasan berasingan.

Satu kumpulan relawan seramai 21 orang telah bekerjasama dengan pihak sekolah, bomba dan masyarakat setempat membersihkan Sekolah Kebangsaan Pahang Tua. Pihak sekolah dan PIBG begitu memberi penghargaan kepada relawan-relawan HALUAN yang bekerja keras membantu mereka. Satu kumpulan lagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di masjid, balai raya dan dua buah rumah mangsa banjir di Kg Acheh.

Relawan-relawan lain telah membantu kerja-kerja pengagihan bantuan makanan, lampin bayi dan susu bayi kepada mangsa banjir dari kalangan anak-anak yatim, orang kurang upaya, golongan miskin dan juga ibu tunggal di perkampungan Tanjung Medang, Kg Pulau Keladi dan Kg Pulau Jawa. Menurut ketua relawan HALUAN di Pekan, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, kerja pengagihan bantuan yang disumbangkan oleh beberapa golongan korporat dan masyarakat prihatin tersebut akan diteruskan ke kawasan-kawasan mangsa banjir yang lain.

Menurut Sdr Abd Bashir lagi, memandangkan hampir keseluruhan pusat pemindahan kini ditutup, khidmat relawan medik akan ditangguhkan mulai hari ini. Relawan-relawan HALUAN akan meneruskan tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan dan pembersihan tempat-tempat kemudahan awam.

Berikut adalah beberapa aktiviti yang dijalankan sejak 2 hari lepas:

  1. Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Abdullah Sudin, menemui Pengarah Kesihatan Pahang Dato` Dr. Hajah Rosnah di Hospital Pekan
  2. YDP Haluan Pahang, Hj Ramli Ngah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir
  3. Seorang relawan HALUAN mengagihkan buah tangan kepada kanak-kanak mangsa banjir