fbpx

Presiden HALUAN Turun ke Pekan

Presiden HALUAN Turun ke Pekan

Presiden HALUAN Turun ke Pekan

Selasa, 25 Disember 2007. Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Abdullah Sudin telah menyertai relawan-relawan HALUAN di Pekan dalam memberi khidmat kepada mangsa-mangsa banjir.


Dr Abdullah telah memulakan sesi bantuan hari tersebut dengan menyampaikan tazkirah Subuh kepada relawan-relawan HALUAN, yang kini berjumlah 50 orang. Selesai tazkirah tersebut, Urusetia bantuan banjir telah memberi taklimat terperinci kepada Dr Abdullah, merangkumi semua aktiviti dan pencapaian sejak kumpulan relawan pertama mula berbakti di Pekan ketika bencana banjir bermula.

Di penempatan banjir Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah, relawan-relawan telah membantu pihak berkuasa untuk mengagihkan pakaian terpakai kepada mangsa-mangsa.

Dr Abdullah juga telah membuat kunjungan hormat kepada Pengetua Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah. Seterusnya, beliau berkunjung ke Hospital Daerah Pekan, di mana beliau telah disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Hajah Rosnah binti Haji Ismail. Hadir sama adalah Pengarah Hospital, Dr Marhani, dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Mariah. Dalam pertemuan tersebut, Pejabat Kesihatan Negeri telah menyampaikan penghargaan mereka di atas sumbangan relawan-relawan HALUAN membantu pihak berkuasa dan juga mangsa-mangsa banjir.

Relawan-relawan HALUAN pula terus memberi khidmat dengan bergotong-royong membersihkan bangunan sekolah di Sek Keb Sinar Mutiara. Pusat tersebut kini dikosongkan dan ditutup untuk penempatan. Aktiviti yang sama turut diadakan di Sek Men Sri Pekan. Manakala relawan medik terus berkhidmat di Sek Men Mahmud Mas.

Menurut ketua relawan HALUAN di Pekan, sdr Abd Bashir Abd Ghani, beberapa buah penempatan kini ditutup. Antaranya adalah Sek Keb Sinar Mutiara, Sek Keb Seri Terentang, Sek Keb Sri Maulana dan Sek Keb Permatang Keledang. Relawan-relawan HALUAN turut bergotong royong membersihkan dan mengosongkan pusat-pusat tersebut.