fbpx

Relawan HALUAN Bantu Kerja Pemulihan & Pembersihan

Relawan HALUAN Bantu Kerja Pemulihan & Pembersihan

Relawan HALUAN Bantu Kerja Pemulihan & Pembersihan

Hampir semua relawan-relawan HALUAN yang masih berkampung di Pekan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan dan pembersihan tempat-tempat kemudahan awam dan juga rumah kediaman mangsa-mangsa banjir.


Hari ini, Khamis 27 Disember, seramai 17 orang relawan telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Kg Ubai. Manakala 25 orang relawan-relawan lain bertugas membersih bangunan dan kawasan sekolah di Tg Medang.

Pembersihan juga dilakukan di masjid Kg Acheh. Seramai 11 orang relawan telah bergotong-royong bersama penduduk kampung membersihkan masjid tersebut. Pada sesi petang pula, kesebelasan relawan-relawan yang menabur bakti di Kg Acheh bergerak ke kawasan lain untuk membersihkan bangunan Pusat Kesihatan Pekan. Mereka berkhidmat dengan bantuan daripada masyarakat setempat dan pihak berkuasa, terutamanya Bomba.

Relawan-relawan HALUAN juga meneruskan kerja-kerja tinjuan melihat keadaan dan kesan banjir, terutama di kawasan-kawasan kampung. Tinjauan adalah sangat penting untuk mengenal-pasti keperluan bantuan dan permasalahan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir. Alhamdulillah hari ini mereka telah dapat melawati rumah-rumah yang musnah keseluruhannya akibat banjir di kawasan Temai.

Tuan/puan, muslimin/muslimat boleh turut menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa dalam bantuk pakaian, makanan dan keperluan-keperluan asas yang lain. Dapatkan maklumat di sini:  Rayuan Bantuan Banjir, dan sama-samalah kita menyeru orang lain untuk turut sama membantu mereka.