fbpx

HALUANITA Tegal Bantu Mangsa Banjir Pahang

HALUANITA Tegal Bantu Mangsa Banjir Pahang

HALUANITA Tegal Bantu Mangsa Banjir Pahang

KUANTAN, 11 Dis 2013 – Relawan Biro HALUANITA turut menyinsing lengan semasa Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) khusus untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat di bandar Kuantan, Pahang baru-baru ini. Beberapa pasukan HALUANITA telah dihantar berperingkat-peringkat untuk menyantuni mangsa di pusat pemindahan dan juga mereka yang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Salah satu pasukan yang diberi nama 5C menyertai misi selama dua hari pada 9 – 10 Disember 2013 dianggotai oleh Cikgu Masruroh Aminah Koharuddin sebagai ketua pasukan, Nazhatul Nadia R. Azmi, Nabilah Mohideen, Nurul Syahirah Hamid, Nur Asmalina Bakar dan Fatimah Badri.

Di Ibu Pejabat HALUAN, Bandar Baru Bangi para relawan telah berkumpul di Pusat Operasi MKB13 untuk taklimat lengkap mengenai isu keselamatan dan pelaporan di tempat kejadian yang telah disampaikan oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri. Pasukan ini turut disertai relawan HALUAN dari Johor. Pada jam 12 malam, pasukan relawan HALUAN telah bertolak ke Kuantan dengan semangat berkobar-kobar untuk membantu mangsa banjir di sana.

Misi dimulakan seawal jam 9 pagi. Pasukan 5C dibahagikan kepada dua kumpulan; dua orang ditugaskan memasak untuk mangsa banjir dan relawan sementara sekumpulan lagi ditugaskan membersihkan kawasan sekitar Sekolah Rendah Ibn Abbas dan rumah gurunya. Menurut salah seorang mangsa, Puan Kamsiah, 30an, rumah beliau dinaiki air separas pinggang sehinggakan barang-barang dan kereta tidak sempat diselamatkan. Beliau berserta suami dan anak seramai empat orang sudah tiga hari menumpang di situ. Makanan yang telah siap dimasak oleh pasukan HALUANITA dimasukkan ke dalam bekas untuk dihantar ke rumah-rumah yang terlibat dan untuk relawan yang bertugas.

Sementara itu, kumpulan kedua seramai empat orang beserta relawan HALUAN lain turut datang membantu membersihkan kawasan sekolah dan rumah guru terletak bersebelahan sekolah. Barang- barang yang tidak dapat diselamatkan dikeluarkan dari rumah itu. Amat malang sekali kerana penghuni rumah tersebut sedang bercuti di kampung halaman di Sabah memandangkan sekolah sedang bercuti panjang. Relawan HALUANITA membantu mengasingkan barang yang masih boleh dibersihkan dan dijemur seperti tilam dan pakaian.

Melalui pengamatan relawan, kerosakan harta benda di sekolah tersebut sangat memberi kesan kepada operasi sekolah. Ini kerana, segala dokumen, resit dan fail-fail murid tidak dapat diselamatkan. Di sebelah petang, Tim 5C bergerak pula ke rumah Puan Kamisah untuk membantu membersihkan rumah dan peralatan dapur yang terkena banjir. Menurut mangsa, dua buah kereta mereka tenggelam dan terpaksa dihantar ke bengkel untuk dibaik pulih. Di rumah ini, relawan membantu membasuh pinggan mangkuk, mencuci lantai dapur dan membersihkan kawasan rumah. Kebanyakan buku-buku dan dokumen terpaksa dibuang kerana tidak dapat digunakan lagi.

Walaupun banjir telah surut, bau lumpur daripada kesan banjir masih lagi terhidu terutama pada kenderaan yang terlibat.

Pada keesokan harinya, pasukan relawan bergerak ke Kampung Belukar, kawasan yang teruk terjejas akibat dilanda banjir. Team 5C kali ini beriringan dengan relawan HALUANITA lain yang baru tiba dari Selangor.

Misi pertama untuk hari kedua dimulakan di rumah Mak Cik Noor. Menurut pasangan suami-isteri yang berumur lingkungan 60an itu, selain harta benda dan barangan rumah, mereka juga kehilangan sejumlah besar ikan peliharaan yang diternak di hadapan rumah. Hasil perniagaan ikan air tawar yang diusahakan seperti ikan jelawat, ikan tilapia dan lain-lain dijual kepada penduduk setempat. Pada peringkat awal pembersihan, segala perabot kayu seperti almari dan katil dikeluarkan. Seterusnya ‘water jet’ digunakan untuk menyembur lumpur dan tanah bagi mempercepatkan pembersihan.

Bagi relawan HALUANITA, kerja pembersihan dimulakan dengan bilik tidur dan ruang tamu. Ruang dapur pula diserahkan kepad relawan HALUAN lain. Kebanyakkan perabot kayu telah reput dan patah. Tilam dan bantal di bawa keluar untuk dijemur serta baju yang kering diasingkan. Hasil kerjasama para relawan HALUAN dan tuan rumah, kerja-kerja pembersihan hanya mengambil masa satu jam. Itulah nikmatnya berkerja secara berpasukan.

Selesai pembersihan, sukarelawan berehat sebentar sebelum meneruskan misi kedua ke rumah seorang ibu tunggal, Mak Cik Rabiah yang tinggal di rumah tersebut bersama anak tunggalnya.

Ruang dapurnya agak teruk terjejas. Menurut mangsa, ini kejadian kali ketiga banjir besar melanda kawasan tersebut. Kali pertama adalah pada tahun 2001. Selepas banjir besar itu, beliau tidak lagi mahu menambah perabot yang sedia ada. Antara keluhan mangsa yang menyentuh hati relawan ialah, “Kalau dulu suami yang kemas dan bersihkan setiap kali banjir, sekarang tiada lagi”. Namun Mak Cik Rabiah sangat berbesar hati apabila diberi penerangan akan tujuan kedatangan relawan HALUANITA untuk membantu beliau dan mangsa lain. Barang-barang di dapur dikeluarkan dan dibasuhkan untuknya.

Mak Cik Rabiah yang juga Ahli Jawatankuasa Kampung turut menceritakan suasana di sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir. Menurutnya, beliau dan anaknya sendiri terpaksa bertugas sebagai sukarelawan sebelum ketibaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pelbagai kerenah penduduk setempat terpaksa dihadapi contohnya, sikap mementingkan diri sendiri, tidak bersyukur dan tidak menjaga kebersihan. Terbukti segilintir manusia itu walaupun diuji mereka masih lagi tidak mendapat iktibar malah menyusahkan orang lain. Mak Cik Rabiah kelihatan agak sedih semasa relawan mahu meninggalkan rumahnya.

Misi terakhir Pasukan 5C ialah di Sungai Isap yang merupakan antara penempatan penduduk paling teruk dilanda banjir. Relawan HALUANITA membantu membasuh pinggan mangkuk dan mengemas di salah sebuah rumah di situ. Sedikit sumbangan juga disampaikan kepada tuan rumah.

Selesai misi pada jam 5.00 petang itu, Pasukan 5C bergegas untuk bertolak pulang ke Pusat Operasi, Bandar Baru Bangi. Relawan merasa lega dapat melaksanakan misi dengan jayanya dalam membantu mangsa banjir yang terlalu memerlukan bantuan di samping mendekati masyarakat sesuai dengan moto HALUAN berakhlak, mendidik dan berbakti. Semoga Allah SWT menjauhi apa-apa musibah lain daripada mangsa yang cukup menderita akibat banjir besar tahun ini. Semoga Allah SWT juga menerima taubat mereka.

Laporan oleh Fatimah Mohamed Badri, Tim 5C