fbpx

300 Relawan HALUAN Berbakti Sepanjang MKB13

300 Relawan HALUAN Berbakti Sepanjang MKB13

300 Relawan HALUAN Berbakti Sepanjang MKB13

KUANTAN, 14 Disember 2013 — Setelah berbakti kepada mangsa-mangsa banjir selama 10 hari, operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) kini melabuhkan tirainya. Seramai lebih 300 orang relawan dari seluruh negara secara bergilir-gilir turun membantu kerja-kerja menyelamat, pembersihan dan pengagihan barang bantuan khususnya di daerah Kuantan dan Kemaman.

Memandangkan keadaan banjir kembali pulih dan hampir semua pusat pemindahan banjir telah ditutup, pihak urusetia MKB13 di bawah seliaan Biro Misi Kemanusiaan memutuskan untuk menghentikan operasinya di Kuantan dan Kemaman. Walau bagaimanapun, pusat operasi Misi Kemanusiaan Banjir di Ibu Pejabat HALUAN di Bandar Baru Bangi masih diletakkan dalam keadaan siap sedia dan boleh diaktifkan bila-bila masa sahaja memandangkan musim tengkujuh masih berterusan.

Sepanjang tempoh operasi, relawan HALUAN telah terlibat dalam usaha memindah dan menyelamat mangsa-mangsa banjir melalui kerjasama penduduk tempatan yang memiliki bot. Manakala bantuan pasca banjir kebanyakkannya melibatkan kerja pengagihan bantuan dan membersih rumah, masjid dan sekolah.

“Alhamdulillah seramai lebih 300 relawan telah membantu, termasuk lebih kurang 100 relawan wanita. Mereka datang dari seluruh Semenanjung, termasuklah dari Kedah dan Perlis untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kuantan. Sebahagian daripada mereka membantu mangsa-mangsa di Kemaman, Terengganu,” kata Ketua Pusat Operasi MKB13 di Ibu Pejabat HALUAN di Bangi, En. Zukifli Willi kepada MediaHALUAN ketika meninjau operasi bantuan di Kuantan.

Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman turut bersama-sama relawan HALUAN meninjau kawasan-kawasan yang ditimpa musibah banjir di Kuantan, Pahang
Jelas Zulkifli lagi, masyarakat Malaysia yang prihatin telah menghulurkan bantuan sebanyak RM43,486.00 sepanjang kempen MKB13. HALUAN menunaikan amanah tersebut dengan menyalurkan bantuan seperti pakaian, selimut, makanan kering, susu bayi, tuala wanita dan telekung. “Kami anggarkan jumlah keseluruhan bantuan yang telah disampaikan kepada mangsa banjir mencecah RM100,000,” terang beliau.

Sumbangan dan bantuan kewangan melalui Tabung Kemanusiaan HALUAN masih dialu-alukan bagi membuat persediaan misi bantuan kecemasan. “Kami menyeru para dermawan supaya terus menyumbang, supaya kami dapat beroperasi secara berkesan pada bila-bila masa bencana berlaku di masa akan datang.”

Sementara itu Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman turut bersama-sama relawan HALUAN meninjau kawasan-kawasan yang ditimpa musibah banjir di Kuantan,Pahang. Selain menziarahi beberapa buah rumah mangsa di Sg Isap, beliau turut mengagihkan bantuan barangan asas yang diperlukan oleh mereka. Sebelum itu, Presiden HALUAN sempat mendengar taklimat gerak kerja di Bilik Gerakan Banjir Pahang dan menziarahi sekolah angkat HALUAN, Sekolah Rendah Ibnu Abbas di Permatang Badak yang turut dilanda banjir. Beliau turut diiringi oleh Dr Baharudin, Ketua Misi Kemanusiaan Banjir 2013 yang juga merangkap Ketua Biro Misi Kemanusiaan.

Orang ramai yang ingin membantu misi-misi kemanusiaan HALUAN boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun berikut:
Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad