fbpx

HALUAN Fitrah Persiap Jentera Dakwah

HALUAN Fitrah Persiap Jentera Dakwah

HALUAN Fitrah Persiap Jentera Dakwah

fcr-01BANDAR BARU BANGI, 9 Dis 2013 – Kelab HALUAN Fitrah (HALUAN Fitrah) mengambil langkah berani melatih seramai 80 orang ahli HALUAN dalam seni dakwah perbandingan agama demi mempersiapkan barisan pendakwahnya yang akan melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah rentas-agama di seluruh negara.

Kumpulan pertama peserta yang datangnya dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak tersebut telah menyertai kursus dalaman khas Friendly Comparative Religion (FCR) Tahap Satu yang dianjurkan secara usahasama dengan Islam Information and Services (IIS), sebuah pertubuhan bukan berdasarkan keuntungan yang terulung dalam pendidikan teknik dakwah rentas-agama pada 7 dan 8 Disember lepas di Dewan Konvensyen, ibu pejabat HALUAN di sini.

Menurut Pengerusi HALUAN Fitrah, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah, usaha sulung oleh kelab ini dirancang sebegitu rupa untuk membolehkan ahli-ahli HALUAN yang berminat untuk mempelajari asas-asas seni dakwah kepada golongan non-Muslim secara teratur dan terhormat, serta tanpa prejudis semasa berinteraksi menyampaikan risalah Islam.

“Kami telah merancang program latihan ini sejak berbulan lamanya untuk memastikan ia akan memanfaatkan HALUAN di setiap negeri agar mereka, setelah selesai dilatih nanti, akan mendapat perspektif yang lebih jelas berkenaan teknik sebenar berdakwah kepada golongan non-Muslim. Ia tidak sama dengan cara berdakwah kepada golongan yang azalinya Islam. Kemahiran ini penting kerana kami dapati semakin ramai rakyat Malaysia ingin tahu ataupun terasa curiga terhadap Islam sedangkan kita orang Islam tidak pula dilatih untuk memahami cara terbaik untuk mempersembahkan Islam kepada mereka,” katanya kepada mediaHALUAN.

Dr Jamaludin berharap ilmu yang dipelajari itu akan mempertingkatkan minat ahli-ahli HALUAN untuk merancang gerak kerja dakwah HALUAN Fitrah di negeri masing-masing khususnya untuk golongan non-Muslim serta mualafah. Beliau juga berharap agar para peserta tersebut akan terus mengikuti kursus di tahap 2 dan 3 yang akan dijalankan oleh kelab berkenaan selepas bulan April 2014.

Peserta telah didedahkan kepada beberapa buah modul yang sangat menarik termasuk kewajipan berdakwah, teknik menjawab soalan daripada non-Muslim, serta tajuk khusus berkenaan agama-agama besar anutan rakyat Malaysia seperti Kristianiti, Hinduism, Buddhism, Quran dan sains, dan lain-lain. Peserta juga melalui sesi bedah bible untuk mencari dan memetik ayat-ayat di dalamnya dalam rangka mendepani para misionari.

Salah seorang peserta kursus, Encik Abd Halim Mohd Rubani dari Kelantan berkata beliau tidak menduga bahawa kursus FCR ini dapat mengubah perspektif beliau terhadap penganut dan kefahaman agama-agama lain. Selama ini, beliau menanggapi bahawa dakwah itu sama sahaja untuk semua orang. Pelajar Jurusan Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia, Cik Siti Nur Azimah Saidin berkata ilmu baru yang beliau perolehi ini akan dimanfaatkan sebaiknya selepas ini, bersesuaian dengan bidang pengajiannya di universiti. Bagi Ustaz Mohd Ashrof Lukman dari Sarawak pula, ilmu baru ini akan amat berguna bagi beliau di Sarawak dan berhasrat untuk lebih mendalami lagi bidang dakwah seperti itu. Beliau juga berharap agar HALUAN akan dapat menganjurkan kursus sedemikian di Sarawak yang, katanya, amat diperlukan untuk melatih para dai’e di sana. Pensyarah Institut Pendidikan Guru di Seremban, Puan Umi Nadzrah Ali Othman berkata beliau terasa bertuah menghadiri kursus FCR tersebut setelah diajak oleh suaminya. Baginya kandungan kursus tersebut tersangat bagus dan rugilah mereka yang tidak dapat hadir bersama untuk belajar.

Kursus dua hari suntuk itu dikelola oleh Encik Shah Kirit Kokulal Govindji dan YM Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsin serta pembantu-pembantu IIS. Menurut Dr Jamaludin, HALUAN Fitrah berhasrat untuk meramaikan lagi ahli-ahli NGO ini yang mampu melaksanakan dakwah rentas-agama secara sistematik dan berhemah. Setiap ahli kelab yang melalui fasa-fasa latihan ini akan diminta untuk menerajui usaha-usaha penerangan tentang Islam di lokaliti mereka masing-masing, bermula dengan melatih lepasan SPM semasa Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 anjuran HALUAN yang bermula dari 14 Disember 2013 hingga 4 Januari 2014 di empat lokasi di seluruh negara.


Laporan MediaHALUAN