fbpx

HALUAN Terus Santuni PELARIAN Syria

HALUAN Terus Santuni PELARIAN Syria

HALUAN Terus Santuni PELARIAN Syria

JORDAN, 1 Sept 2014 – Krisis kemanusiaan yang melanda Syria telah melampaui tiga tahun sejak ia meletus pada bulan Mac 2012. Sehingga kini, bencana yang melibatkan hampir keseluruhan bumi Syria telah mengorbankan lebih 250,000 nyawa rakyatnya sendiri, serta lebih 6 juta menjadi pelarian di dalam Syria dan di negara jiran seperti Lubnan, Jordan dan Turki.

UNCHR menganggarkan puluhan billion dollar Amerika di perlukan untuk memulihkan krisis kemanusiaan terburuk di abad ini yang memusnahkan hampir semua bandar-bandar besar di Syria. Di atas dasar keprihatinan kemanusiaan, HALUAN Malaysia adalah di antara NGO antarabangsa yang konsisten menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian-pelarian Syria samada yang berada di dalam mahupun di negara-negara jiran.

Alhamdulillah, melalui sukarelawan Kelab Siswa HALUAN Jordan (HALUANSiswa Jordan), HALUAN sekali lagi telah berjaya menyampaikan amanah sumbangan rakyat Malaysia kepada keluarga pelarian Syria yang menetap di Jordan. Agihan sumbangan ini dilaksanakan selama empat hari berturut-turut bermula pada 31 Ogos hingga 3 September 2014.

Misi kali ini lebih berfokus kepada dua bahagian sumbangan utama iaitu:

  1. Bantuan Kewangan
  2. Agihan Makanan Asasi

Bantuan kewangan sebanyak 7,500 JOD telah di agihkan kepada 150 buah keluarga di Hayy At-Tarkhish, Jordan. Agihan sumbangan ini adalah kerjasama HALUAN dengan sebuah NGO Jordan yang dikenali sebagai Maqar Al-Omari yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat Syria di Jordan ini.

Seterusnya, HALUAN juga telah memberi sumbangan kewangan untuk pembukaan Kedai Roti (Mat`am) yang diusahakan sepenuhnya oleh pelarian Syria di Sakan Karomah dengan melibatkan wang sebanyak 1,220 JOD. Sakan Karomah merupakan salah satu penempatan rakyat Syria yang telah dipindahkan daripada Kem Za`Atari, Jordan dan dikawal selia oleh Islamic Charity Centre Society (ICCS) dan sebelum ini juga menempatkan sebuah klinik perubatan hasil kerjasama HALUAN dan UTeM. HALUAN yakin bahawa sumbangan yang berupa mikro-kredit ini mampu memberi satu impak yang besar kepada aktiviti keusahawanan pelarian Syria di sana  bagi menampung kehidupan keluarga mereka.

HALUAN juga membuat agihan sumbangan berbentuk kotak makanan asasi kepada keluarga-keluarga pelarian Syria yang menetap di Jordan. Kotak makanan asasi ini mengandungi barang-barang asasi seperti gula, minyak, beras, gandum dan sebagainya. Tempat dan kawasan (mantiqah) yang telah dengan jayanya disalurkan bantuan adalah sebanyak lima kawasan iaitu:

1) Mantiqah Marka
2) Mantiqah ‘Abourah
3) Mantiqah Marj Al-Hamam
4) Mantiqah Al-Husun
5) Mantiqah Naeemah

Setiap mantiqah menerima sebanyak 56 kotak makanan asasi untuk agihan kepada tiap keluarga yang memerlukan. Sebanyak 280 buah kotak yang anggaran kos nya 6,300 JOD telah berjaya diagihkan kepada 280 buah keluarga pelarian Syria yang menetap di beberapa mantiqah di Jordan sepanjang misi kali ini.

HALUAN akan terus komited menyampaikan amanah dan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih diucapkan kepada penyumbang yang ikhlas membantu rakyat Syria. Mereka menjadi saksi bahawa kita sama sekali tidak berdiam diri atas keadaan saudara-saudara kita di sana. Moga Allah sentiasa redha dengan segala amal kita semua. Teruskan bersama HALUAN untuk keprihatinan pelarian Syria.

Sumbangan anda boleh di salurkan melalui:

“Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN”
Akaun Maybank
5622 6350 2611

Laporan Zulkarnain Ahmad, HALUANSiswa Jordan