fbpx

HALUAN Fitrah Bawa FCR ke Sabah

HALUAN Fitrah Bawa FCR ke Sabah

HALUAN Fitrah Bawa FCR ke Sabah

KUNDASANG, SABAH, 1 Sept 2014 – Kelab HALUAN Fitrah (KHF) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kursus asas seni perbandingan agama iaitu ‘Friendly Comparative Religion’ (FCR) buat julung kalinya ke Sabah. Kursus tahap satu ini mencernakan minda para pendakwah serta penggerak persatuan mualaf di Sabah untuk lebih memahami teknik menyampaikan Islam dengan tepat dan benar kepada mereka yang berminat.

Kursus tiga hari FCR1 pada 22 Ogos lepas itu diterajui oleh HALUAN cawangan Sabah dengan kerjasama erat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) cawangan Sabah serta Jabatan Mufti Negeri Sabah. Program itu telah berlangsung di Pusat Latihan Islam JAKIM Kundasang (PLIK), yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

Aturcara program bermula pada malam 22 ogos dengan taklimat perjalanan program oleh pengarahnya, Encik Zulkifli Wili daripada KHF. Keesokannya, jadual program dimulakan dengan solat subuh berjamaah berserta kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Abu Bakr Sidek, seorang aktivis dakwah KHF berpusat di Perlis. Seminar FCR1 ini menarik minat seramai 70 peserta terdiri daripada berbagai organisasi bukan kerajaan, persatuan mualaf Sabah dan orang perseorangan. Terdapat juga wakil daripada agensi-agensi kerajaan seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam yang menjadi peserta.

Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Mufti Negeri Sabah Ustaz Mohd Ariffin Ali, yang telah mewakili Tuan Mufti negeri Sabah. Di dalam ucapan perasmian beliau, Ustaz Mohd Ariffin mengalukan semua peserta seminar sambil merakamkan ucapan tahniah kepada pihak HALUAN selaku urusetia utama dalam program kerjasama ini. Beliau juga menyampaikan salam bagi pihak Tuan Mufti di samping menyentuh kepentingan kepada dakwah dan mendalami ilmu perbandingan agama.

Seminar FCR 1 bersambung sehingga malam. Untuk hari berikutnya,seminar FCR tersebut terus berlangsung daripada 7.30 pagi sehingga 11.30 pagi. Semua slot penyampaian ini merupakan modul khas yang disediakan oleh pihak konsultan Islamic Information and Services (IIS) dari Kuala Lumpur. Para pembentang terdiri daripada Encik Shah Kirit Kalkulal Govindji, Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsin dan Encik Mas Yuri Mahyiddin. Konsultan IIS ini merupakan badan bukan kerajaan yang menyediakan modul-modul seminar ilmu perbandingan agama di Malaysia. Badan ini juga berperanan mengkaji dan menyelidik ilmu-ilmu perbandingan agama selain menyelesaikan isu-isu berkaitan aqidah di Malaysia.

Setelah dua hari berseminar, upacara penutup berlangsung pada jam 11.30 pagi disampaikan oleh Pengerusi KHF, Dr. Jamaluddin James Laeng Abdullah. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan kandungan FCR 1 ini dan bersemangat untuk mengikuti seminar FCR 2 pada masa akan datang. Tahap keyakinan dan ilmu mereka semakin bertambah untuk melakukan kerja-kerja dakwah kepada non-Muslim di samping dapat membina jaringan di antara NGO-NGO dakwah di Sabah.

Setelah selesai seminar FCR1 di Kundasang, pada malamnya pula berlangsung sebuah forum menarik yang dianjurkan oleh HALUAN Sabah dengan kerjasama Pusat Islam Politeknik Kota Kinabalu. Forum bertemakan “Masih Ada Yang Sayang” itu disertai ahli panel terdiri daripada Encik Shah Kirit Kalkulal Govindji, Puan Aisyah Azra dan Dr. Jamaluddin James selaku moderator. Para hadirin terdiri daripada pelajar politeknik berkenaan di samping tenaga pengajar dan pihak pengurusan politeknik.

Bermula selepas solat maghrib, forum ini berorientasikan perkongsian pengalaman saudara baru ketika menerima hidayah Islam dan cabaran-cabaran yang dihadapi sewaktu awal memeluknya. Kesemua ahli panel dan juga moderator sendiri adalah ‘revert’ dan pernah menganut agama lain sebelum menerima hidayah Islam sebagai agama dan cara hidup mereka. Perkongsian pengalaman ini memberikan perspektif segar kepada hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada Muslim sejak lahir, melihat perspektif bagaimana pandangan golongan non-Muslim terhadap Muslim dan agama Islam.

Umumnya hadirin sangat menghayati penyampaian yang dibuat oleh semua ahli panel diselangi gurauan dan gelak tawa yang dihidangkan oleh moderator. Forum tersebut berakhir sekitar 8.30 malam dan diselesaikan dengan solat isyak berjamaah.

Laporan Ahmad Zubair Hasni, Kelab HALUAN Fitrah