fbpx

HALUAN & SEAHUM Tingkatkan Agenda Kemanusiaan Serantau

HALUAN &  SEAHUM Tingkatkan Agenda Kemanusiaan Serantau

HALUAN & SEAHUM Tingkatkan Agenda Kemanusiaan Serantau

YOGYAKARTA, 23 Feb 2019 – SEAHUM, atau Southeast Asia Humanitarian Committee, sebuah gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari pelbagai negara ASEAN telah mengadakan mesyuarat agung kali ke-3 di Yogyakarta, Indonesia dari 21 hingga 23 lepas.

HALUAN turut menghantar wakil menghadiri mesyuarat tersebut. SEAHUM telah ditubuhkan pada tahun 2012 di atas kesepakatan beberapa buah NGO kemanusiaan demi menangani konflik serta kekejaman terhadap etnik Rohingya di Rakhaine, Myanmar. Sejak itu, SEAHUM telah mulai menggabungkan berbagai pertubuhan NGO serantau dalam pelaksanaan beberapa aktiviti advokasi dan bantuan kemanusiaan untuk Rohingya di Rakhine dan kem pelarian di Cox’s Bazaar, Bangladesh. Selain itu juga, gabungan NGO dalam SEAHUM telah berkoloborasi dalam pelbagai aktiviti bantuan bencana alam terutamanya di Indonesia.

Dengan tema ‘Energy of Humanitarian: Strengthening Partnership in Humanitarian Diplomacy and Disaster Management,’ pertemuan kali ini diisi dengan pelbagai agenda termasuk pembentangan isu-isu terpilih khasnya isu Rohingya dan Mindanao, perkongsian pengalaman, perbincangan arah tuju SEAHUM dan pemilihan barisan kepimpinan SEAHUM bagi sesi 2019-2022.

Majlis perasmian mesyuarat agung kali ini telah disempurnakan oleh Direktur HAM dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negara Republik Indonesia, Dr. Achsanul Habib. Antara lain beliau menegaskan bahawa tugasan diplomasi tidak lagi menjadi hak eksklusif sesebuah negara, malah kerjasama serta koloborasi semua pihak melibatkan kerajaan dan NGO kemanusiaan adalah amat diperlukan. Usaha SEAHUM amat tepat pada waktunya dan ia pastinya boleh membantu kerajaan berkenaan mempercepatkan proses bantuan kemanusiaan dan pencegahan yang efektif.

Beberapa resolusi juga telah disepakati dalam perbincangan tiga bidang utama iaitu Advokasi dan Diplomasi; Partnership dan Program Sinergi, serta Capacity Building.

Fokus utama gerak kerja SEAHUM yang terdekat adalah meningkatkan lagi jaringan kolaborasi antara NGO untuk melaksanakan program kemanusiaan bersama di bawah payung SEAHUM di Asia Tenggara, terutamanya penyelesaian isu serta bantuan kepada etnik Rohingya di Myanmar dan Bangsamoro di Mindanao, Filipina.

Untuk sesi 2019-2022, delegasi telah bersepakat memberikan amanah Presiden kepada NGO Malaysia iaitu MyCare untuk mengetuai pengurusan dan dibantu oleh HALUAN sebagai Naib Presiden bahagian Partnership & Program Synergy. Dua lagi Naib Presiden diamanahkan kepada Rumah Zakat bahagian Capacity Building serta PAHAM bagi bahagian Advocacy. Sekretariat SEAHUM yang beribu pejabat di Jakarta akan diuruskan oleh Dompet Dhuafa.

Delegasi HALUAN telah diwakili oleh Pengarah Perhubungan Antarabangsa, Encik Nordin Endut; Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri dan Setiausaha Biro Misi Kemanusiaan, Encik Mohd Jamil Muda. Mereka telah berinteraksi dan bertukar pengalaman dengan perwakilan pelbagai NGO dari negara ASEAN, termasuk Timor Leste, Thailand dan Singapura. HALUAN juga berkesempatan bertemu NGO dari Indonesia iaitu Human Initiative (PKPU), Dompet Dhuafa, Rumah Zakat dan Aksi Cepat Tanggap ACT dalam usaha untuk memetrai persefahaman kerjasama (MOU) antara dua pihak dalam pelbagai bidang kemanusiaan.
_
Laporan Setiausaha Biro Misi Kemanusiaan
En. Mohd Jamil Muda

Majlis Perasmian oleh Dr Achsanul Habib, Direktur HAM dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negara Rep Indonesia.
Wakil NGO Malaysia- HALUAN, MyCare dan Yayasan AMAL
Sesi pembentangan isu Rohingya dan Mindanao serta deklarasi Yogyakarta Charter for Humanity
Barisan Kepiimpinan Baru SEAHUM 2019-2022. MyCare, HALUAN, Rumah Zakat, PAHAM
Pertemuan dengan beberapa wakil NGO anggota SEAHUM