fbpx

HALUAN Santuni Wanita Donggala

HALUAN Santuni Wanita Donggala

HALUAN Santuni Wanita Donggala

BANDAR BARU BANGI, 12 Feb 2019 – Relawan HALUANITA telah melaksanakan sesi pertemuan khusus bersama para ibu dan anak-anak warga dari Rumah HALUAN Prihatin (RHP) Kelurahan Ganti sebaik sahaja selesai Majlis Perasmian Penyerahan RHP oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman.

Timbalan Ketua Biro HALUANITA, Puan Umi Nadzrah Ali Othman melahirkan setinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana mempertemukan saudara serumpun dari dua benua yang berjiran ini.

Ucapan aluan disampaikan oleh Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda yang berbesar hati atas sambutan mesra dan memberansangkan dari warga RHP dengan kunjungan HALUANITA buat julung kalinya.

Beliau mengajak seluruh kaum ibu untuk kembali mengingati Allah SWT dan memperbaharui istighfar dengan segala ketentuan ujian daripada Allah yang dialami oleh mereka pada 28 September yang lalu. Setiap peristiwa yang berlaku pasti ada hikmah yang besar dan sebagai manusia kita wajar merenungi dengan redha dan sabar.

Sesi pertemuan petang itu disusuli dengan ceramah motivasi oleh Ketua Biro Penerbitan HALUAN, Dr. Asmawati binti Desa yang juga merupakan pakar psikologi lulusan PhD Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau menyeru para ibu untuk bangkit penuh semangat dari segala ujian yang berat ini. Kembali mengubah diri dan memperbaiki keluarga dengan mempergiatkan usaha kendiri melalui perniagaan seperti pembuatan abon, bawang goreng dan perkhidmatan jahitan pakaian.

Kata beliau lagi, semua ini harus dilakukan secara berkelompok dengan kerjasama ramai warga RHP agar lebih teguh, mandiri dan sosio-ekonomi berkembang makmur serta mendapat keuntungan berlipat kali ganda. HALUAN sentiasa bersedia untuk membantu dari segi kepakaran dan juga modal awal untuk aktiviti sosioekonomi mandiri.

Sesi ini juga disulami dengan curhat (curahan hati) beberapa orang ibu yang berkongsi liku permasalahan kehidupan yang terpaksa mereka harungi. Relawan-relawan HALUANITA tekun memberikan kata-kata semangat agar mereka terus bersabar, memperbanyakkan berisghfar dan berusaha mengubah kehidupan ke arah yg lebih baik lagi.

Pertemuan diakhiri i dengan  penyampaian cenderahati dan sumbangan daripada ahli HALUANITA kepada para ibu dan anak-anak. Sumbangan dalam bentuk buku cerita dan alatulis serta bahan material untuk kegunaan dan aktiviti anak-anak dalam pembelajaran harian mereka.

Buku cerita ini telah disumbangkan oleh Puan Shahbatun Abu Bakar dan rakan penulis beliau yang lain. Alat tulis dan material yang dihadiahkan telah dimanfaatkan oleh relawan HALUAN Donggala untuk menjalankan aktiviti dengan anak-anak pada sebelah petangnya. Beberapa lukisan berwarna yang menarik telah dihasilkan oleh anak-anak RHP dan pemenangnya telah diberikan hadiah saguhati sebagai tanda penghargaan daripada HALUANITA

Pihak HALUANITA telah selamat sampai di Malaysia dan ini merupakan satu pengalaman berharga  yang sukar dilupakan. Wajah -wajah mereka masih terbayang di depan mata. Diharapkan agar Allah SWT terus merahmati dan memberkati kehidupan seluruh warga RHP dan memberikan kekuatan yang kuat untuk terus cekap menerusikan kelangsungan hidup.

__
Laporan Dr. Zurina Muda, Ketua Biro HALUANITA HALUAN