fbpx

HALUAN Santuni Asnaf Sekitar Sabah

HALUAN Santuni Asnaf Sekitar Sabah

HALUAN Santuni Asnaf Sekitar Sabah

SABAH, 7 Feb 2022 — HALUAN dengan kerjasama Koperasi Muslimin Malaysia Berhad dan Wanita PERKIM Cawangan An-Nidaa’ Putrajaya mengadakan Lawatan Kebajikan, Pendidikan dan Dakwah ke Sabah pada 4-7 Februari lepas bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada para asnaf di sekitar Sabah.

Beberapa kawasan yang dikenalpasti antaranya Kampung Mesilau, Kundasang; Kampung Bitoon, Ranau; dan Pusat Tahfiz Tarbiyatunnisa’ di Tuaran.

Agihan sumbangan bermula dengan bantuan bakul makanan kepada 70 orang asnaf di Kampung Mesilau, Kundasang. Program berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Kampung, Encik Rohatin Duari; Pengerusi JPKK, Encik Sham Sarif; dan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kundasang, Ustaz Samsuri Ghazali.

Program diteruskan dengan serahan duit sumbangan dan pek pakaian solat kepada 50 orang asnaf di Kampung Bitoon, Ranau. Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pendidikan dan Dakwah, Wanita PERKIM cawangan An-Nidaa’ Putrajaya, Datin Norani Mohamed; dan wakil HALUAN, Puan Wan Rusnani Wan Abdullah.

Menurut Ustaz Nazrey Johani, selebriti bekas anggota nasyid Raihan, masyarakat kampung di sana sangat memerlukan peluang untuk mempelajari ilmu fardhu ain dan ilmu tentang Islam. Kekurangan tenaga pengajar dan bantuan kewangan antara faktor yang membataskan masyarakat kampung berkenaan memperolehi ilmu  lebih tentang Islam. Namun, kekangan-kekangan ini tidak mematahkan semangat para guru untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat kampung di sana.

Agihan sumbangan diteruskan di Pusat Tahfiz Tarbiyatun Nisa’, Tuaran. Sumbangan berupa wang tunai diberikan kepada 50 orang pelajar melalui Pusat Tahfiz untuk tujuan menampung keperluan pelajar. Majlis disambut pengetuanya, Ustaz Abdul Halim Abbas dan pelajar-pelajar perempuan Pusat Tahfiz berkenaan.

Semoga usaha murni dalam menyantuni asnaf di Sabah ini akan mampu membantu masyarakat di Sabah untuk terus istiqamah dalam misi mencari hidayah. Ini jelas dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah yang  bertanggungjawab terhadap Allah SWT (hablun minallah) serta tanggungjawab sesama insan (hablun minannas) dan tanggungjawab untuk memakmurkan alam agar mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Laporan Aisyah Ruqayyah Mohd Sabbri