fbpx

BHF Negeri Sembilan Santuni Kaum Cina 

BHF Negeri Sembilan Santuni Kaum Cina 

BHF Negeri Sembilan Santuni Kaum Cina 

SEREMBAN, 3 Feb 2022  –  Biro HALUAN Fitrah (BHF) cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan program menyantuni masyarakat cina di sekitar Sikamat, Seremban sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2022 lepas. Program berkenaan disempurnakan  dengan kerjasama erat daripada Pusat Dakwah Islamiah negeri, dan dibantu oleh MPKK Jalan Sikamat.

Objektif program adalah untuk membina hubungan silaturrahim antara sasaran penerima sumbangan dengan para sukarelawan, lantas mengurangkan jurang komunikasi sesama mereka yang berlainan etnik dan agama. Program ini juga bertujuan membina persepsi yang baik masyarakat cina terhadap Islam supaya dapat memberi rangsangan yang positif kepada agama Islam dan umat Islam di Malaysia.

Sekaligus program ini diharapkan dapat memecahkan benteng atau jurang yang memisahkan antara masyarakat cina dan masyarakat melayu. Di samping itu, sukarelawan berpeluang mempelajari budaya masyarakat cina bagi mewujudkan hubungan baik antara kaum di Malaysia.

Program dimulakan pada pukul 10 pagi dengan pembahagian 20 orang sukarelawan kepada tiga kumpulan. Dua kumpulan diminta menziarahi tujuh keluarga cina di Taman Jujur dan Taman Desa Rhu. Satu kumpulan pula menziarahi enam lagi keluarga cina di Taman Nibong dibantu oleh pihak MPKK sebagai penunjuk jalan ke rumah penerima sumbangan.

Sumbangan kepada masyarakat cina adalah berbentuk sekotak limau mandarin berserta cenderahati seperti kuih bakul, kacang dan manisan yang biasa dijamu oleh masyarakat cina di waktu perayaan Tahun Baru mereka. Program berakhir pada pukul 12 tengahari.

Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada masyarakat cina yang diziarahi dan memberikan impak positif dari segi hubungan baik yang terjalin antara sukarelawan dan mereka. BHF berharap pengalaman berharga ini dapat merintis jalan untuk susulan program lain demi  kesinambungan hubungan mahabah yang terjalin. Semoga program ini menjadi asbab hidayah serta mendorong mereka kembali mengenali siapakah Maha Pencipta yang sebenarnya.


Laporan Dr. Zainab Aman, Setiausaha BHF Negeri Sembilan