fbpx

HALUAN Pahang Perhebat Kerja Amal Di Bulan Ramadhan

HALUAN Pahang Perhebat Kerja Amal Di Bulan Ramadhan

HALUAN Pahang Perhebat Kerja Amal Di Bulan Ramadhan

KUANTAN, 12 Ogos 2012 — HALUAN Cawangan Pahang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan kerja kebajikan dan sedekah. Melalui kerja amal ini, masyarakat yang kurang bernasib baik boleh merasai kenikmatan hidup sepertimana insan biasa dan dapat menggalakkan ahli HALUAN dan masyarakat berlumba membuat kebajikan lebih-lebih lagi di bulan yang mulia dan barakah ini.

Terbaru, HALUAN Cawangan Pahang telah mengadakan tiga aktiviti kebajikan iaitu penyampaian sumbangan Ramadhan kepada golongan fuqaha, pengagihan bubur lambuk percuma dan sumbangan hariraya kepada masyarakat Rohingya di Kuantan.

Penyampaian sumbangan Ramadhan adalah merupakan aktiviti tetap tahunan HALUAN Cawangan Pahang. Sepertimana tahun lepas, aktiviti kali ini telah diadakan di Masjid Lama Permatang Badak (MLPB) pada 11 Ogos 2012 dengan kerjasama AJK masjid. Seramai 51 orang individu daripada kalangan fuqaha, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya menerima sumbangan berupa barangan makanan asas dan wang perbelanjaan harian.

Majlis penyampaian sumbangan ini telah disempurnakan oleh Tn Hj Mohd Ghani b Salleh, Setiausaha Agung HALUAN Malaysia. Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti iftar ahli-ahli HALUAN bersama masyarakat dan solat tarawikh bersama huffaz dari Gaza, Syeikh Husam Taufeq Muammad An Nafar. Majlis berakhir dengan ucapan perpisahan dan perkongsian pengalaman ahli jemaah masjid bersama Syeikh Husam.

Pada keesokan harinya, 12 Ogos 2012, bertempat di perkarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, HALUAN Cawangan Pahang melalui Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) telah mengadakan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk percuma kepada orang ramai. Program ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Pahang dan Pihak Jabatan Agama Islam Pahang. HALUAN antara beberapa NGO yang dijemput menyertai program ini yang turut disertai oleh agensi dan jabatan kerajaan, badan berkanun dan persatuan lain.

Menurut YDP HALUAN Cawangan Pahang, Hj. Tengku Abd. Rashid Tengku Othman, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat umum bilamana bubur yang siap dimasak cepat habis diagihkan kepada hadirin yang sudah sedia menanti dengan sabar. “Kami mendapat kerjasama dan kepakaran dari jurumasak bubur yang berpengalaman iaitu Tn. Hj Jamaluddin b. Sura dari Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang mempunyai keenakan citarasa rasa bubur lambuk yang tersendiri,” jelas beliau.

HALUAN Cawangan Pahang bersyukur kerana berjaya mengadakan beberapa program kebajikan bagi membantu masyarakat sepanjang Ramadhan kali ini. Bermula dengan program menderma darah Ramadhan, penyampaian sumbangan Ramadhan, pengagihan bubur lambuk percuma dan sumbangan hariraya kepada masyarakat pelarian Rohingya di Kuantan. Keperitan hidup mangsa penghapusan etnik di tanah kelahiran mereka sendiri di Myanmar ini semakin mendapat perhatian umat Islam Malaysia, termasuklah di daerah Kuantan. Puluhan ribu telah terkorban akibat keganasan puak pelampau di Arakan yang disokong pula oleh pihak keselamatan negara itu.

Semua perbelanjaan program ini adalah daripada sumbangan ahli-ahli HALUAN sendiri dan ianya berharap Allah SWT jualah yang akan mengganjari dengan sebaiknya di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Sesungguhnya Ramadhan sentiasa melatih dan membentuk ahli HALUAN menjadi lebih pemurah, prihatin dan ehsan sesama insan sesuai dengan motto berakhlak, mendidik dan berbakti.