fbpx

Ibu Tunggal Terharu Terima Sumbangan Ramadhan HALUAN Pulau Pinang

Ibu Tunggal Terharu Terima Sumbangan Ramadhan HALUAN Pulau Pinang

Ibu Tunggal Terharu Terima Sumbangan Ramadhan HALUAN Pulau Pinang

PERMATANG BINJAI, PULAU PINANG, 12 Ogos 2012 — HALUAN Cawangan Pulau Pinang meneruskan tradisi membantu mereka yang memerlukan menjelang tibanya Hari Raya Aidil Fitri. Pada kali ini, seramai 55 orang penerima bantuan Ramadhan telah diraikan di Majlis Iftar Dan Sumbangan Ramadhan 1433H dengan kerjasama Masjid Jamek Permatang Binjai di sini.

Ketua Biro Kebajikan HALUAN Cawangan Pulau Pinang, Tuan Syed Salleh Syed Kechik, berkata bahawa program ini diadakan sebagai usaha meneruskan agenda untuk berbakti kepada masyarakat setempat, bertepatan dengan motto HALUAN iaitu Berakhlak, Mendidi Dan Berbakti. “Berbekalkan niat ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah, kami melaksanakan usaha ini pada setiap tahun, sejak empat tahun lalu,” jelas beliau. Menurutnya lagi, program ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali, memahami, dan mendekati HALUAN dengan lebih dekat lagi sebagai sebuah NGO yang peduli perihal masyarakat.

Jamilah Osman, 54, yang kematian suami sejak beberapa tahun dahulu merupakan salah seorang daripada penerima bantuan Ramadhan pada kali ini. Dengan penuh terharu, beliau mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada pihak HALUAN Cawangan Pulau Pinang kerana meringankan bebannya.

“Keadaan saya sekarang memang sangat susah kerana tidak mempunyai kerja, malah tidak ada sumber kewangan langsung sejak kematian suami saya. Kalau hendak mengharapkan wang yang diberikan oleh anak-anak tidak seberapa sangat,” luah beliau kepada MediaHALUAN.

Menurut ibu tunggal itu lagi, beliau tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana pihak sebelum ini walaupun pernah memohon, sehinggalah pada Ramadhan pada tahun ini di mana pihak HALUAN Cawangan Pulau Pinang sudi menyampaikan sedikit barang keperluan asas makanan. “Saya sangat berharap kepada mana-mana pihak yang prihatin dapat membantu saya dari segi kewangan setiap bulan untuk meneruskan perjalanan hidup,” rayu beliau.

Sebelum penyampaian sumbangan Ramadhan, majlis turut diserikan dengan ucaptama oleh YDP HALUAN Cawangan Pulau Pinang, Dr Ismail bin Jusoh, dan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Permatang Binjai, Che Ani bin Hashim. Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh penceramah HALUAN, Ustaz Adni Abdul Razak, turut memberikan nasihat dan bekalan rohani yang berguna untuk semua yang hadir.