fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Sentuhan Arab Terawih Di Malaysia

Ramadhan Bersama Huffaz : Sentuhan Arab Terawih Di Malaysia

Ramadhan Bersama Huffaz : Sentuhan Arab Terawih Di Malaysia

[Al-Jazeera] Solat tarawih merupakan amalan yang sangat mustahak di malam bulan Ramadhan.

Antara perhitungan penting yang diambil kira adalah pemilihan imam dan bilal yang sesuai untuk melaksanakan acara ibadah ini di masjid-masjid di seluruh negara terutama di mana pentadbirannya menjadi tuan rumah kepada ramai imam-imam yang didatangkan khas dari negara luar seperti Arab Saudi, Syria, Mesir dan lain-lain. Mereka ini ditempatkan di masjid-masjid ibukota dan di negeri-negeri seluruh Malaysia atas jemputan.

Berbagai usaha dilaksanakan untuk menjemput imam-imam ini sebagai salah satu strategi untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam mengimarahkan masjid dengan bersolat tarawih dan berdakwah, sepertimana yang dilakukan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dengan projeknya “Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia”.

Semasa menerima dan mengalu-alukan rombongan para huffaz tersebut, penyelaras projek Dr Syed Muhammad Haleem berkata, “kami mahu kamu bersama di negara kami ini agar menyeru manusia kepada Allah. Rakyat Malaysia ternanti-nanti untuk mendengar alunan bacaan Quran kamu semasa tarawih nanti. Dan mereka juga mengharapkan tazkirah terus daripada kamu tentang penindasan yang sedang berlaku di Palestin, Syria dan juga di Somalia”.

Tasbih dan doa

Di kebanyakan masjid, para huffaz mengimami sebanyak 20 rakaat tarawih yang diselang-selikan dengan tasbih dan doa serta salawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Di penghujung solat, para jamaah ternanti-nanti doa penutup panjang yang akan dibacakan penuh syahdu oleh para hufffaz jemputan itu.

Keghairahan sambutan terhadap imam-imam hafiz ini disuburkan lagi dengan program realiti TV yang popular di Malaysia iaitu “Imam Muda”, yang menjadi sumber inspirasi para jamaah yang masih muda di seluruh negara untuk mengunjungi masjid-masjid semasa bulan ini.

Sering suara-suara imam yang lebih dewasa di masjid-masjid Malaysia digantikan semasa Ramadan oleh imam-imam yang lebih muda yang pandai memirip suara para imam terkenal di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Mereka juga mengalunkan lagu-lagu bacaan cara para qari yang popular seperti Sheikh Basset dan Minshawi serta qari-qari lain yang terkenal. Acara ini diimarahkan lagi oleh seorang imam huffaz jemputan yang pandai meniru gaya bacaan para-para qari terkenal sedunia yang sudah pasti menarik perhatian para jamaah masjid. Ketibaan beliau dinanti-nantikan serta diwar-warkan di masjid-masjid berkenaan sehari lebih awal.

Pada malam 17 Ramadan, Malaysia menyambut kedatangan Nuzul Quran dengan meriah sekali di seluruh negara dengan penglibatan Raja dan Perdana Menterinya. Tarikh itu juga adalah cuti umum di kebanyakan negeri-negeri di Malaysia dan disambut sebagai sebahagian daripada 10 hari terakhir di dalam bulan Ramadan.

Di dalam masjid kelihatan ramai lelaki berjamaah di hadapan dan wanitanya di belakang sambil kanak-kanak kecil lima tahun ke bawah diawasi penyelia-penyelia di bilik khas di belakang sekali agar tidak mengganggu ibubapa mereka yang sedang tekun beribadat.

Sebelum tarawih bermula, petugas masjid akan mengumumkan nama imam dan kewarganegaraan beliau, serta aktiviti yang akan berlangsung di masjid berkenaan, berkenaan iftar, tertib tetamu dan seumpamanya.

Masjid Masyarakat

Di Malaysia, pihak kerajaan membenarkan masyarakat tertentu seperti golongan Arab dan India untuk membina masjid mereka sendiri untuk mereka berjamaah serta melaksanakan amalan menurut mazhab masing-masing.

Umpama sebuah masjid yang ditadbirkan oleh golongan India Muslim di mana tarawihnya dibahagikan kepada tiga bahagian. Seluruh 30 juzuk quran dibahagikan di antara beberapa imam yang bergilir-gilir mengetuai solat.

Di peringkat akhir, bacaan solat untuk 10 juzuk terakhir akan dilaksanakan pada 20 rakaat, purata dua rakaat sejuzuk untuk mengkhatamkannya. Namun kadangkala bacaannya terlalu laju hingga sukar difahami maksudnya.

Di sesetengah masjid, senarai nama yang panjang arwah-arwah yang akan dibacakan tahlil dan doa untuk mereka oleh para imam tersebut terpapar di papan elektronik.

Ramai juga ahli jamaah masjid terdiri daripada pemuda-pemuda berbangsa Arab di kawasan-kawasan perumahan yang umumnya adalah pelajar universiti. Ada di kalangan mereka yang mampu mengimami solat dengan baik. Ramai juga di kalangan mereka yang tinggal beriktikaf di masjid sepanjang 10 hari terakhir ramadhan ini.


Tulisan asal oleh Mahmoud Al-Adam, Al Jazeera – Kuala Lumpur, di sini.