fbpx

HALUAN Mendidik & Berbakti Kepada Anak Mangsa Banjir

HALUAN Mendidik & Berbakti Kepada Anak Mangsa Banjir

HALUAN Mendidik & Berbakti Kepada Anak Mangsa Banjir

HALUAN yang terus bergerak aktif dalam bidang kebajikan dan pendidikan telah berkampung di Pekan bagi menghulurkan bantuan bagi membantu dan meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir di daerah Pekan sejak awal banjir pada 14 Disember 2007 sehingga ke hari ini.


Menurut Yang Di Pertua HALUAN Cawangan Pahang, Tn Hj Ramli b. Ngah, aktiviti-aktiviti kebajikan yang disumbangkan oleh HALUAN selain memberi khidmat kesihatan (medik) oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) termasuklah mengadakan program pendidikan bagi mengisi masa lapang pelajar disamping  menghiburkan mereka dengan aktiviti yang berfaedah.  Relawati-relawati dari HALUANITA turut memberi bakti yang sangat besar, mendekati anak-anak, ibu-ibu dan warga emas.

Relawan-relawan HALUAN yang datang dan pergi silih berganti dari beberapa buah negeri terdiri dari kalangan profesional, kaunselor, pensyarah, guru dan pelajar-pelajar IPT telah bergerak ke pusat pertempatan banjir, khususnya di sekolah-sekolah terpilih bagi mengadakan aktiviti-aktiviti seperti kelas Al Quran, bimbingan kaunseling, tayangan video, kuiz, melukis dan sukaneka.

Menurut Tn Hj Ramli Ngah lagi, sambutan yang diberikan oleh mangsa banjir, terutamanya pelajar-pelajar sekolah, adalah amat memberangsangkan. Mereka amat berminat dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam aktiviti yang dianjurkan. Mereka ingin menghilangkan rasa bosan kerana terpaksa tinggal di pusat pemindahan dalam tempoh masa yang lama hingga melewati seminggu.  Pelajar-pelajar sekolah yang terlibat adalah berumur antara 7 hingga 17 tahun, merangkumi lelaki dan perempuan.

Antara sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pertempatan mangsa banjir yang telah dikunjungi oleh HALUAN ialah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH,) SM Dato` Mahmud Mat, SK Sri Maulana, SK Sinar Mutiara, SK Permatang Kelebang, SK Kg Acheh, SK Kg. Ubai dan IKM Pekan.
 
Tn Hj Ramli turut menyatakan bahawa ada di kalangan pelajar-pelajar sekolah ini sangat rapat dan mesra dengan para relawan dari HALUAN sehingga ada yang sedih berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Ini kerana HALUAN telah menempatkan relawan-relawannya untuk turut tinggal di Sekolah Agama Tg. Ampuan Fatimah (SMATAF) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) bagi mengajar dan mendampingi anak-anak di sana. SHAH telah dijadikan bilik oprerasi Misi Bantuan Haluan sepanjang berkhidmat di Pekan ini.

HALUAN juga telah mendapat kerjasama yang sangat erat daripada Pejabat Pelajaran Daerah Pekan dan Majlis Guru Kaunseling  Kebangsaan (MGKK) Daerah Pekan dalam menganjurkan program-program mendidik dan bermesra di beberapa buah sekolah pada setiap malam. Sebanyak 5 buah sekolah telah terlibat. Majlis bermula dengan solah maghrib, solah hajat, ceramah motivasi yang disusuli dengan tayangan video dan diakhiri dengan bermesra dalam kumpulan. Pelajar-pelajar akan di kumpulkan mengikut kategori umur dan para relawan HALUAN serta kaunselor akan memberi bimbingan serta nasihat disamping menguji minda mengenai fardhu ain dan lain-lain. Bagi lebih menghiburkan mereka, hadiah berupa makanan ringan juga disediakan dan diberikan kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
 
Menurut Tn Hj Ramli lagi, program sukaneka turut diadakan di waktu siang di beberapa sekolah-sekolah terpilih. Jelas tampak keseronokan di wajah mereka bila dapat bersukaneka dan bergaul mesra dengan rakan-rakan. Dengan cara ini masa lapang mereka boleh dimanfaatkan dengan perkara yang lebih berfaedah dan membina jiwa.
 
Sesuai dengan motto HALUAN “mendidik dan berbakti,” beliau berharap usaha yang dilakukan oleh pihak HALUAN ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak mangsa banjir ini di samping memberi pendidikan kepada mereka agar lebih bersyukur dengan ujian banjir dari Allah ini. Mereka diharapkan agar dapat belajar bersungguh-sungguh bagi memajukan diri dan keluarga sehingga berjaya dengan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Aktiviti HALUAN ini tidak akan tamat di sini sahaja. HALUAN akan cuba berusaha menjejaki mereka dengan membuat lawatan ke perkampungan mereka selepas ini kelak, InsyaAllah. Sentuhan mesra HALUAN ini sememangnya akan sentiasa di kenang oleh mereka sehinggakan ada dari kalangan pelajar-pelajar ini yang melakarkan logo HALUAN dalam kertas lukisan bot mereka. Tahniah kepada relawan dan relawati HALUAN dari kalangan remaja Kelab Rakan HALUAN (KeARAH) – IPT yang telah menghiburkan mereka.
 
Tulisan oleh Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani, SU HALUAN Pahang, yang mengetuai relawan-relawan HALUAN berkampung di Pekan.