fbpx

HALUAN Akhiri Misi Bantuan Banjir di Pekan

HALUAN Akhiri Misi Bantuan Banjir di Pekan

HALUAN Akhiri Misi Bantuan Banjir di Pekan

Dengan suasana banjir di daerah Pekan yang hampir pulih sepenuhnya, HALUAN akan menamatkan misi bantuan banjir di daerah tersebut mulai 30hb Disember.


Alhamdulillah, relawan-relawan HALUAN telah dapat mendidik dan berbakti di Pekan sejak 14hb Disember yang lalu, meliputi bantuan rawatan perubatan, kaunseling dan pendidikan, aktiviti sukan dan juga kerja-kerja pemulihan dan pembersihan.

Menjelang hari-hari akhir misi tersebut, relawan-relawan HALUAN telah bersama-sama penduduk kampung dan Bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sek Keb Kg Pedap. Menurut ketua relawan misi bantuan banjir di Pekan, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, seramai 28 orang relawan HALUAN bergotong-royong secara intensif, memadangkan  sekolah tersebut telah ditenggelamai air sedalam 6 kaki dan diliputi kotoran dan lumpur yang tebal. Manakala satu pasukan yang terdiri dari 15 orang relawan HALUAN telah bekerjasama dengan Bomba dan pelajar-pelajar IKM Pekan membersihkan bangunan Sek Keb Kg Langgar.

Relawan dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) juga turut menjalankan khidmat rawatan kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa banjir yang baru pulang ke kediaman masing-masing di Kg Baru Cenderawasih, Sg Miang. Ada juga kes-kes pesakit yang perku dirujuk ke Hospital, seperti mangsa yang patah bahu dan pendarahan dalam perut. Rawatan perubatan HALUAN telah mendapat kerjasama dan sumbangan ubat-ubatan daripada Yayasan Tun Rahah Pekan.

HALUAN juga turut menjalankan aktiviti-aktiviti lain seperti sukaneka untuk kanak-kanak dan remaja, tayangan video pendidikan dan ceramah kesedaran kepada kaum ibu. Aktiviti bersama kanak-kanak kebanyakannya dijalankan oleh relawan-relawan dari kalangan ahli Kelab Rakan HALUAN (KeARAH-IPT) UIAM Kuantan.

Di samping itu, HALUAN juga telah berjaya mengagihkan pakaian terpakai dan telekong wanita kepada 140 orang mangsa banjir. Tidak ketinggalan juga, HALUAN turut menyampaikan saguhati kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR yang baru lalu.

Menurut Sdr Abd Bashir, sambutan masyarakat terhadap usaha-usaha bantuan HALUAN adalah amat memberangsangkan, di mana mereka telah melahirkan rasa terharu, gembira dan terhutang budi kepada relawan-relawan. Malah, mereka juga melahirkan rayuan dan harapan agar HALUAN dapat meneruskan usaha membantu mereka dan melawat kampung-kampung mereka di masa akan datang. Dari pengamatan Sdr Abd Basir, beberapa keluarga mangsa perlu di beri perhatian kerana kemiskinan dan kes-kes ibu beserta keluarga yang ditinggalkan oleh suami.

Pada hari terakhir misi, seramai 50 orang relawan HALUAN telah membersihkan sekolah dan kemudahan awam di Kg Mambang. Manakala sekumpulan relawan lain membersihkan Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH,) yang juga merupakan pusat operasi misi bantuan banjir HALUAN di Pekan. Manakala relawati dari HALUANITA telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di pusat penempatan KEMAS Peramu.

Dengan kepulangan kumpulan terakhir relawan HALUAN seramai 98 orang ke tempat masing-masing, maka berakhirlah misi bantuan banjir di Pekan. Walau bagaimanapun, HALUAN akan membuat susulan kepada perkara-perkara yang melibatkan kebajikan dan pendidikan mangsa-mangsa banjir.

Pihak Urusetia misi bantuan banjir HALUAN di Pekan merakamkan rasa terima kasih kepada semua yang terlibat, samada secara langsung atau tidak. Tahniah kepada semua relawan-relawan HALUAN yang telah sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat kita. Sanjungan juga ditujukan kepada semua pihak yang terlibat, termasuklah pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3,) pengurusan penempatan banjir dan sekolah-sekolah, Yayasan Tun Rahah, Hospital Pekan, klinik-klinik kesihatan di Kg Ubai dan daerah-daerah lain, juga tidak ketinggalan jawatankuasa dan penduduk kampung serta mangsa-mangsa banjir sendiri. Terima kasih dan tahniah juga kepada semua masyarakat prihatin yang memberi sumbangan berbentuk pakaian, makanan, wang dan sokongan kepada mangsa-mangsa banjir. Setiap kekurangan dan kesilapan dari pihak HALUAN dan relawan-relawan HALUAN harap dapat dimaafkan.