fbpx

HALUAN Lancar Misi Kemanusiaan Banjir 2013

HALUAN Lancar Misi Kemanusiaan Banjir 2013

HALUAN Lancar Misi Kemanusiaan Banjir 2013

BANDAR BARU BANGI, 4 Disember 2013 – Bilangan mangsa banjir di beberapa negeri Semenanjung Malaysia semakin meningkat sejak semalam lagi. Menurut laporan portal Majlis Keselamatan Negara hari ini, hampir 14,123 mangsa telah dipindahkan dan 132 pusat pemindahan telah diaktifkan. Demi berbakti kepada mangsa banjir, HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan telah melancarkan Misi Kemanusiaan Banjir 2013.

Koordinasi di antara biro-biro HALUAN sedang rancak dilaksanakan bermula petang semalam. Sekretariat Misi Kemanusiaan Banjir telah diwujudkan di peringkat pusat dan beroperasi 24 jam di Ibu Pejabat HALUAN di sini.

Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr Baharudin Suri melaporkan, “Hujan yang bermula awal minggu ini telah menenggelamkan banyak kawasan rendah di pinggiran sungai termasuk bandar Kuantan yang disifatkan bencana paling buruk sejak 2007. Empat daerah yang paling teruk terjejas adalah Rompin, Kuantan, Pekan dan Maran. Di Terengganu pula, daerah Dungun dan Kemaman turut terjejas.

“HALUAN akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi tempatan yang terlibat dalam bantuan banjir seperti Urusetia Banjir Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, PDRM, JPA3, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi lain,” tambah beliau.

Setakat hari ini, Bilik Gerakan Misi Kemanusiaan Banjir di negeri Pahang, Terengganu dan Johor telah diwujudkan dan digerakkan oleh jawatankuasa di peringkat negeri yang dipengerusikan oleh YDP HALUAN negeri-negeri berkenaan.

“Saya seru agar semua anggota HALUAN mendaftarkan diri dengan Sekretariat Misi Kemanusiaan Banjir untuk turun berbakti beramai-ramai. Sekreteriat akan menyusun gerak kerja relawan dan bantuan yang akan disalurkan ke Bilik Gerakan Banjir Negeri mengikut keperluan dari semasa ke semasa. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin meminjamkan kenderaan seperti pacuan empat roda serta bot yang amat diperlukan dalam misi ini, ” ujar Dr Baharudin.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dan menjadi lebat akan turun terus-menerus hampir di kesemua negeri selama beberapa hari lagi. Keadaan paras laut yang meninggi sekarang akibat air pasang juga mengakibatkan banjir di kebanyakan kawasan. Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

Bagi mereka yang ingin turut seiring dengan HALUAN menyumbang untuk maslahat mangsa banjir bolehlah berbuat demikian dengan menderma ke:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (Beroperasi 24 jam)
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
A-03-1, Medan Pusat Bandar 5
Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi
Selangor Darul Ehsan
Tel: +603 8926 8892 (Hotline)
Fax: +603 8926 6892


Laporan Biro Penerangan HALUAN