fbpx

KASeH 6 Suburkan Cinta Allah Dalam Jiwa Peserta

KASeH 6 Suburkan Cinta Allah Dalam Jiwa Peserta

KASeH 6 Suburkan Cinta Allah Dalam Jiwa Peserta

kaseh6-01PUTRAJAYA, 1 Disember 2013 — Kem Anak Soleh (KASeH) sekali lagi tampil khusus untuk pelajar sekolah rendah bersempena cuti sekolah hujung tahun ini bagi siri yang keenam. Program yang dianjurkan oleh Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Wilayah Tengah dengan kerjasama HALUANITA telah mendapat penyertaan dari 149 orang peserta yang terdiri daripada 70 peserta lelaki dan selebihnya perempuan.

KASeH 6 yang bertemakan “Cinta Allah Ikut Rasul” telah diadakan di Masjid Putra dengan memberi fokus kepada latihan yang dapat menyemai kecintaan kepada Allah SWT. Para peserta telah dididik agar memahami konsep Allah SWT sebagai Raja Penguasa (Al-Malik) dan juga Pemilik (Al-Maalik) hari pembalasan. Ini secara tidak langsung telah dapat mempertingkatkan penghayatan mereka sebagai hamba yang seharusnya tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT.

Pelbagai aktiviti menarik yang telah dilalui oleh para peserta, termasuklah aktiviti ice breaking dan team building. Mereka juga mengambil bahagian dalam aktiviti flash mob, riadhah, kayak dan kembara tarbawi di samping turut mengikuti slot motivasi dan percambahan minda. Yang menarik lagi, peserta telah berpeluang merungkai kemusykilan agama dalam slot Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Adni Abd Razak, seorang guru berpengalaman dari Sekolah Menengah Ibnu Khaldun, Shah Alam.

Rata-rata para peserta gembira dan berpuas hati mengikuti program KASeH kali ini.

Nur Amirah binti Mohd Affandi, 12 tahun, dari Putrajaya yang pertama kali menyertai KASeH gembira dapat menjadi peserta. “Saya rasa gembira walaupun ini kali pertama saya sertai Kem Anak Soleh. Walaupun pada mulanya tiada kawan, tapi kawan-kawan senang berinteraksi. Aktiviti yang paling menarik bagi saya ialah kayak dan kembara tarbawi,” ujar beliau.

Muhd Zahid bin Mohd Nasruddin, 11 tahun, yang hadir bersama abangnya, Muhammad Afifi, 12 tahun, juga teruja menjadi peserta KASeH 6. “Aktiviti yang paling best adalah slot Tanyalah Ustaz kerana saya dapat tahu tip-tip untuk mendapat solat yang khusyuk, dapat belajar hukum-hukum fikah yang baru dan juga aktiviti kayak,” jawab beliau ketika ditanya apakah aktiviti yang paling digemari dalam KASeH 6.

Majlis penutup KASeH 6 telah disempurnakan oleh Dr Solehudin Shuib, Pengerusi Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) yang turut diiringi oleh Mohd Nasaruddin bin Abdul Manaf, Pengerusi KeARAH dan Puan Nur Sarah bt Abdul Rashid, penasihat KASeH Wilayah Tengah.

Dalam ucapan penutupnya, Dr Solehudin menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk generasi kanak-kanak hari ini kerana mereka merupakan tunjang keutuhan sesebuah negara pada masa hadapan. “Semoga kem ini dapat melahirkan generasi yang soleh dalam suasana cabaran kepada ibubapa semakin bertambah berat. Hanya tarbiah yang dapat menjadi benteng paling asas dalam mendidik anak-anak,” ujar beliau.

Pihak penganjur sangat bersyukur kerana program ini berjalan dengan lancar dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak Masjid Putra yang menyediakan tempat yang selesa untuk para peserta berprogram.

“Program kali ini lebih mencabar dibandingkan dengan kem KASeH sebelum ini dengan penambahan slot yang baharu seperti program berkayak, Tanyalah Ustaz dan aktiviti riadhah ke Tasik Putrajaya, namun slot-slot tersebut berjaya membuatkan peserta gembira yang membantu mereka mengutip banyak ilmu-ilmu khususnya hal-hal mengenai solat,” jelas beliau Puan Nur Sarah.

Semoga pengalaman dan ilmu yang diraih dalam KASeH 6 menjadi anjakan para peserta agar menjadi generasi pelapis negara yang soleh, beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.


Laporan oleh Ummu Hani Bt Mohd Nasaruddin.