fbpx

Peserta ProCAST Zon Timur 2013 Timba Ilmu Ikhtiar Hidup

Peserta ProCAST Zon Timur 2013 Timba Ilmu Ikhtiar Hidup

Peserta ProCAST Zon Timur 2013 Timba Ilmu Ikhtiar Hidup

procasttimur-01BACHOK, 2 Dis 2013 — Bersempena cuti persekolahan yang panjang ini, Biro Pendidikan HALUAN Cawangan Kelantan melalui Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Zon Timur telah menganjurkan sebuah program khusus untuk pelajar tingkatan empat yang dinamakan sebagai Program Cemerlang Akademik dan Sahsiah Terpuji (ProCAST) Zon Timur 2013. Seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada 21 orang lelaki dan 26 orang perempuan berkampung selama empat hari tiga malam bermula 29 November sehingga 2 Disember di D’Muara Beach Resort, Tok Bali.

Program ini adalah susulan ProCAST yang telah diadakan pada cuti sekolah pertengahan tahun pada bulan Jun yang lepas. Dalam suasana pantai yang mendamaikan, para peserta melalui pelbagai modul bagi memperkasakan pembinaan jati diri mereka sekali gus mempertingkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengucapan awam dan juga berorganisasi.

ProCAST kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana terdapat satu slot yang dikhususkan untuk membina daya tahan survival para peserta yang dinamakan sesi Ikhtiar Hidup. Antara pengalaman yang sangat bermakna bagi para peserta ialah praktik penyembelihan ayam yang jarang-jarang didedahkan dalam kursus sebegini.

“Kami berasa amat gembira kerana pelbagai aktiviti yang diadakan belum pernah terdetik di lubuk hati untuk kami melakukan. Sebagai contoh menangkap ayam dengan jerat, menyembelih, memproses dan seterusnya memasak ayam tersebut. Alhamdulillah, banyak pengalaman berharga telah kami perolehi,” kata adik Fatini, salah seorang peserta ketika berkongsi perasaan beliau sepanjang mengikuti kursus ini.

Penjanjur ProCAST Zon Timur 2013 telah menjemput beberapa penceramah berpengalaman bagi memastikan para peserta mendapat manfaat semaksima mungkin melalui modul yang disediakan. Antara penceramah yang dijemput ialah En Mahmud b. Jaafar, Kaunselor di Sekolah Menengah Sains Machang yang mengendalikan slot Personaliti Gaya Bercinta, En. Irwan Affendi Md Naim, pensyarah di Kolej Teknologi Darul Naim yang menyampaikan kuliah maghrib, En. Razali Bin Maarof, motivator yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD pula dijemput untuk mengisi slot Remaja Super dan En. Ruqaimi Bin Rabbani dari Kolej Teknologi Darul Naim bertanggungjawab mengemudi slot Ikhtiar Hidup.

ProCAST Zon Timur 2013 menutup tirainya dengan upacara Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Ustaz Mohd Noor Awang Kechik, Yang dipertua HALUAN Cawangan Kelantan. Turut hadir bersama ialah En Che Adnan Ab. Halim, Pengerusi Biro Pendidikan HALUAN Cawangan Kelantan.

“Sangat ramai yang belajarnya hebat dan pandai dan berperangai baik tapi sedikit yang bermanfaat [terlibat] dalam kerja dakwah dan tarbiah. Justeru itu, kita perlu berusaha menjadikan diri kita bermanfaat untuk kerja dakwah dan tarbiah,” pesan Ustaz Mohd Nor Awang dalam ucapan penutupnya.

Pihak penganjur meletakkan harapan yang tinggi kepada semua peserta agar segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi dapat diaplikasikan dalam kehidupan dan mampu mendorong dan membimbing diri mereka melakukan amalan-amalan soleh yang diredhai oleh Allah SWT.


Laporan oleh Nurul Zati Amani Mahmud.