fbpx

HALUAN Kelantan Tinjau Dan Rawat Mangsa Banjir

HALUAN Kelantan Tinjau Dan Rawat Mangsa Banjir

HALUAN Kelantan Tinjau Dan Rawat Mangsa Banjir

PASIR MAS, KELANTAN 28 Dis 2012 — Lebih 6,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri Kelantan sehingga pukul 9.00 malam, 26 Disember.

Pasir Mas merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir dengan pemindahan seramai 4,225 penduduk. Dengan mengambilkira faktor ini, HALUAN Kelantan memutuskan untuk menumpukan misi bantuan banjir di daerah Pasir Mas. Satu pasukan peninjau diketuai oleh Ustaz Mohd Noor Awang Kechik serta turut disertai relawan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Dr Rosdan Salim telah membuat tinjaun dan rawatan di dua buah pusat pemindahan banjir teramai, iaitu di Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung dan Sek Menengah Agama (Arab) Meranti, di sini.

Pasukan relawan HALUAN Kelantan yang menggunakan dua buah kenderaan pacuan 4 roda telah bertolak menuju ke Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung yang terletak lebih kurang tujuh kilometer dari pusat operasi banjir mereka di Kampung Alor Buluh. Sebahagian besar perjalanan adalah melalui jalan raya yang ditenggelami air sehingga satu kaki. Lebih kurang 100 meter sebelum pintu masuk ke sekolah berkenaan, jalan telah ditutup kepada kenderaan ringan kerana air semakin dalam.

Relawan HALUAN Kelantan bertemu-ramah dengan para petugas di situ, iaitu Encik Fauzi dan Encik Shaiful Lani. Dimaklumkan sehingga tengahari tadi, seramai 276 keluarga melibatkan 835 orang telah dipindahkan. Mereka terdiri daripada 207 wanita, 185 lelaki dewasa, 258 kanak-kanak perempuan dan 185 kanak-kanak lelaki. Pusat pemindahan ini bertanggungjawab kepada 11 buah kampung di sekelilingnya.

Di pusat pemindahan ini juga, pihak Jabatan Kesihatan mengadakan pemeriksaan dan rawatan berkala yang dikendalikan oleh paramedik mereka. Makanan, bekalan air bersih dan tandas dikawal selia oleh jawatankuasa banjir di situ dengan dibantu oleh Jabatan Kesihatan.

Kebanyakan kanak-kanak menghabiskan masa siang mereka dengan bermain air banjir. Tiada aktiviti khusus untuk mereka mahupun untuk orang dewasa.

Relawan HALUAN juga meninjau kawasan rumah dan keadaan mangsa banjir yang tidak berpindah. Kebanyakan kawasan rumah, sawah padi atau ladang getah masih ditenggelami air. Jalan boleh dilalui oleh motorsikal dan kereta kerana masih ditenggelami air. Rata-rata kawasan rumah di tenggelami air setinggi tiga kaki dan ada kawasan yang berarus deras. Relawan HALUAN sempat menyantuni dan merawat seramai tujuh orang pesakit yang terdiri daripada seorang pesakit paru-paru kronik, tiga orang pesakit darah tinggi, seorang pesakit kulit dan dua pesakit myalgia.

Seterusnya mereka bergerak ke Sekolah Kebangsaan Arab Meranti. Para relawan terpaksa melalui jalan yang ditenggelami air sehingga tiga kaki. Walau bagaimanapun, sebahagian besar air di jalan ke sekolah tersebut telah kering dan kenderaan ringan mula digunakan. Relawan HALUAN disambut oleh ketua pusat pemindahan itu, di mana eramai lebih 200 penduduk didaftarkan. Disebabkan keadaan cuaca yang agak cerah, ramai penduduk mulai pulang ke rumah masing-masing. Bekalan makanan, air bersih serta ubatan adalah mencukupi.

HALUAN Kelantan turut menerima maklumat tentang sebuah lagi pusat pemindahan, iaitu Sekolah Kebangsaan Senor, yang menampung 92 orang mangsa banjir tetapi kurang dilawati oleh petugas banjir kerana terputus hubungan. Pusat tersebut hanya boleh dilawati dengan menggunakan bot sahaja. Memandangkan cuaca yang baik, ramai penduduk telah balik ke rumah masing-masing dengan bot mereka sendiri.

Secara amnya, para penduduk yang ditemui tidak menunjukkan tanda-tanda kecelaruan emosi atau tertekan. Tidak ada komen-komen negatif tentang takdir dan respons bantuan banjir. Penduduk tidak mempunyai masalah terputus bekalan makanan atau masalah lain yang serius serta mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berwajib.


Laporan oleh Dr Rosdan Salim, Kelab Kesihatan HALUAN Kelantan.