fbpx

Anak Bajau Laut Miskin Disantuni KKH

Anak Bajau Laut Miskin Disantuni KKH

Anak Bajau Laut Miskin Disantuni KKH

KUNAK, SABAH 24 Dis 2012 – Seramai 111 orang kanak-kanak keturunan Bajau Laut serta 142 orang ibubapa dan ahli keluarga mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan percuma selama dua hari mulai 22 Disember di Kampung Kaboq yang dilaksanakan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH).

Kanak-kanak tersebut adalah yang mengikuti Kelas Bimbingan Insan (KBI) di situ. KBI dibangunkan oleh HALUAN Sabah dengan bantuan kewangan dari pelbagai pihak termasuk gotong-royong oleh penduduk kampung untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak bangsa Pelauh yang berumur di antara tujuh ke 12 tahun di mana mereka hidup terpinggir serta tidak mendapat pendidikan formal. Mereka tidak tahu membaca, mengira dan menulis sehinggalah projek ini dijalankan oleh HALUAN.

KKH telah mengambil inisiatif bersama HALUAN Sabah untuk memberi perkhidmatan kesihatan percuma dengan bantuan dana daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Mereka diperiksa dan diberi ubat cacing dan vitamin. Pemeriksaan umum yang dibuat adalah seperti melihat kepucatan, keadaan kulit, gigi, rambut, paru-paru, abdomen, kardiovaskular serta kehadiran kutu. Pemeriksaan mata iaitu akuiti visual secara khusus telah dilakukan oleh pasukan mata yang disertai oleh dua orang doktor pakar mata iaitu Prof Madya Dr Mohtar dan Dr Noramazlan. Seramai 142 orang dewasa dan kanak-kanak yang bukan daripada pelajar KBI turut diperiksa.

“Kami berbesar hati kerana inilah pertama kalinya program sebegini mendapat kerjasama daripada pihak Hospital Daerah Kunak. Mereka telah menyediakan seramai 11 orang petugas untuk pemeriksaan umum dan mata dan 34 orang untuk berkhatan. Kemeriahan dan ukhuwah sangat terasa,” jelas ketua delegasi KKH, Profesor Dr Mohd Zamrin Dimon, seorang doktor pakar pembedahan jantung dan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pihak hospital berkenaan turut menyediakan kemudahan dewan bedah untuk berkhatan di samping penambahan ubat-ubatan yang kehabisan seperti ubat kutu, kudis buta, cacing dan vitamin B Complex.

Kebanyakan remaja belasan tahun yang bersunat memberitahu mediaHALUAN bahawa mereka tidak mendapat peluang mahupun kewangan yang cukup untuk berkhatan semasa usia yang lebih muda.

“Kami sangat teruja dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak di sini. Usaha sebegini harus diteruskan demi membantu penduduk Pelauh yang terpinggir. Jika masalah kesihatan dan kebersihan mereka tidak dipedulikan, maka penyakit yang bakal timbul akan merebak dan mengakibatkan masalah kepada masyarakat setempat dan umum,” jelas Pengerusi KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa yang turut serta dalam delegasi itu.

Delegasi KKH disertai oleh 10 orang relawan dari Semenanjung termasuk dua orang doktor pakar mata, dua orang pakar bedah, dua orang pakar patologi, dua orang paramedik dan dua orang relawan media.

Majoriti kanak-kanaknya dan penduduk di sini tidak mengetahui umur mereka yang sebenar kerana tiada rekod pendaftaran kelahiran apatah lagi rekod imunisasi. Daripada 111 orang pelajar KBI yang diperiksa, 67% mempunyai masalah kutu dan kudis buta di mana tujuh daripadanya mengalami infeksi sekunder. Di samping itu, 35% pelajar didapati menghadapi masalah kebersihan mulut kerana tidak menggosok gigi. Impetigo (jangkitan kuman kulit) dan angular stomatitis (tanda kekurangan zat besi) berlaku pada kadar 6.3%.

“HALUAN akan terus memantau keadaan mereka di sini agar pendidikan tentang amalan dan penjagaan kebersihan diteruskan serta meningkatkan minda dan pemikiran mereka dengan pendidikan ilmu pengetahuan yang sepatutnya sehingga taraf kesihatan mereka akan menjadi lebih baik,” jelas beliau lagi.


Laporan MediaHALUAN, Sabah