fbpx

SUPER 2012 Terima Peserta ‘Walk-In’

SUPER 2012 Terima Peserta ‘Walk-In’

SUPER 2012 Terima Peserta ‘Walk-In’

MELAKA, 27 Dis 2012 – Masih tidak terlambat untuk usahawan muda dan veteran menyertai “Seminar Usahawan, Profesional dan Koperasi 2012” (SUPER ’12) yang akan berlangsung di Hotel Permaisuri MITC, Ayer Keroh, Melaka pada 28 dan 29 Disember 2012 ini di mana sekitar 200 orang peserta dijangka hadir.

Seminar yang bertemakan “Sinergi Usahawan & Profesional Ke Arah Keunggulan Ummah” akan memberi fokus pada dua objektif utama. Yang pertama, bertindak secara kolaborasi untuk memperkukuhkan ekonomi ummah, dan yang kedua untuk membina usahawan dan profesional pelapis yang kompeten dan beretika (berintegriti).

“Memandangkan golongan muda menjadi agenda penting dan utama, maka pihak sekretariat telah melakar satu kaedah mudah di mana pihak yang lebih senior dan berpengalaman digalakkan untuk “menaja” golongan muda untuk turut hadir bagi menimba pengetahuan menghadapi cabaran dan saingan semasa hari ini. Rakan-rakan sebaya juga boleh sama-sama membantu untuk memperkenalkan pada rakan-rakan yang lain, sekaligus budaya kerjasama ini kami cuba terapkan secara tidak langsung pada peserta,” jelas Penasihat SUPER ’12, Encik Rosli Adam selaku CEO Bina Integrated Sdn Bhd. Beliau juga pernah memenangi anugerah usahawan terbaik Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Selangor pada tahun 2004.

Seminar ini akan lebih bermakna kerana akan membincang isu halal haram melibatkan umat Islam. Penganjur memberitahu MediaHALUAN bahawa mereka menerima peserta Walk-In atau yang datang mendaftar pada pagi tersebut.

“Namun untuk memudahkan urusan, kami sangat menggalakkan peserta untuk mendaftar secara online di http://super.mymubin.com. Seminar ini suatu peluang bagi peserta menimba ilmu dan membina jaringan dengan rakan usahawan serta pakar-pakar industri untuk menjadi berjaya,” ujar Rosli Adam.

Penganjur utamanya Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) membuka peluang penyertaan kepada ahli dan bukan ahli HALUAN. Peserta akan berpeluang menemui para penceramah yang terdiri daripada mereka yang mengasaskan persijilan seperti “Islamic Manufacturing Practice” (IMP), “Goods Manufacturing Product” (GMP) dan “Syariah Compliance Muslim Product” (SCMP) serta pengusaha-pengusaha berjaya, pakar pemasaran dan pengendali koperasi.

Seminar ini dikendalikan bersama secara bersepadu oleh Biro Ekonomi HALUAN Malaysia (BeKN), Biro Profesional HALUAN (BP), Kelab Usahawan HALUAN (KUH) serta Koperasi Ikhtisas Malaysia Berhad (KIMB).