fbpx

HALUAN Ke Jordan Bantu Pelarian Syria

HALUAN Ke Jordan Bantu Pelarian Syria

HALUAN Ke Jordan Bantu Pelarian Syria

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2012 — Puluhan ribu rakyat Syria termasuk mereka yang tercedera terpaksa lari meninggalkan tanahair demi mendapatkan perlindungan dan bantuan. Mereka yang berpeluang melarikan diri daripada kekejaman dan pembunuhan yang sedang berlaku di Syria terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran seperti Turki, Lubnan dan Jordan.

Di Jordan sahaja terdapat sekitar 85,000 orang pelarian, dan bilangan mereka bertambah dari hari ke hari. Dilaporkan juga bahawa ramai daripada mereka yang tercedera terpaksa memasuki Lubnan melalui laluan-laluan sempadan yang tidak sah, dengan harapan untuk mendapat bantuan rawatan perubatan. Menurut laporan Osman Atalay, iaitu seorang Ahli Lembaga Eksekutif di Insani Yardim Vakfi (IHH) yang mengetuai misi bantuan kepada pelarian-pelarian Syria, terdapat lebih 500 orang pelarian yang tercedera sedang menanti rawatan kecemasan di sempadan Lubnan.

IHH adalah merupakan sebuah NGO bantuan kemanusiaan dari Turki. Mereka menyalurkan bantuan keperluan asas seperti peralatan memasak, makanan dan juga selimut sejak beberapa minggu lalu. Kira-kira 3,500 buah keluarga memerlukan bantuan secara berterusan di Jordan, terutama sekali dalam bentuk makanan dan rawatan perubatan, kerana mereka tidak berpeluang untuk bekerja dan bergerak bebas untuk mencari rezki.

Pelarian-pelarian Syria dari bandar Homs, Hama dan Daraa secara umumnya bergerak menuju ke sempadan negara Jordan. Menurut kenyataan kerajaan Jordan, bilangan pelarian dari Syria kini berjumlah sekitar 85,000 orang, di mana majoriti daripada mereka berlindung di Amman, Mafraq dan Ramsa. Sungguhpun begitu, masih tidak ada sebarang kem pelarian dibina untuk mereka.

Memandangkan keadaan yang semakin mendesak, HALUAN telah mengaktifkan sekretariat Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Pelarian Syria. Pasukan pertama akan berlepas ke Amman pada hari Rabu 28 Mac untuk bergabung tenaga dengan para relawan IHH dan NGO tempatan di Jordan. Sebagai sebuah rakan NGO kepada IHH yang telah bekerjasama dalam misi-misi bantuan kemanusiaan sebelum ini, HALUAN akan mendapatkan maklumat terperinci bagi menyusun tindakan bantuan seterusnya yang akan disalurkan secara bersama samada di Jordan, Turki mahupun Lubnan.

Menurut kenyataan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Dr Baharuddin Suri, pasukan kedua akan berlepas pada 9hb April akan datang, di mana mereka akan berbakti selama dua minggu. Pasukan seterusnya akan menyusul sejurus mereka pulang ke tanahair.

Masyarakat yang prihatin dan terpanggil untuk membantu saudara-saudara mereka yang dizalimi ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun khusus untuk misi kemanusiaan iaitu

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Semoga setiap doa dan bantuan ikhlas tuan-puan membantu orang yang memerlukan ini akan menjadi saham yang baik di akhirat kelak.