fbpx

HALUAN Dan Era Muslim Ikat Kerjasama Media Dakwah

HALUAN Dan Era Muslim Ikat Kerjasama Media Dakwah

HALUAN Dan Era Muslim Ikat Kerjasama Media Dakwah

BANGI, 24 Mac 2012 – Tim Media HALUAN mengorak selangkah lagi dalam aktiviti menyampaikan Islam melalui media apabila berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Era Muslim yang merupakan organisasi media dakwah terkenal di Indonesia.

Objektif utama perjanjian berkenaan adalah untuk menjalin kerjasama strategik dalam kegiatan dakwah melalui pelbagai saluran media. Di peringkat awal kerjasama berkenaan, Era Muslim yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam operasi media dakwah akan membantu Tim Media HALUAN daripada aspek pentadbiran dan khidmat nasihat editorial.

Presiden HALUAN Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman dalam kata-kata aluannya menjelaskan bahawa persefahaman berkenaan diharap akan memberi lebih manfaat kepada HALUAN yang masih baru dalam aspek pengendalian media dakwah. Beliau juga berharap agar persefahaman berkenaan tidak hanya berakhir di peringkat MOU, tetapi akan terus menjalin hubungan hati dan kerjasama dakwah di antara dua organisasi media.

“Kerjasama dan MOU kita ini hendaklah diasaskan kepada matlamat rabbani iaitu untuk mencapai keredhaan Allah dan kita saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan,” kata Dr. Abdullah.

Tambah beliau, aktivis media hendaklah mempunyai matlamat bahawa mereka bukan sekadar menulis di kertas atau di laman sesawang, tetapi ingin “menulis” manusia atau membentuk manusia.

Sementara itu Pimpinan Umum Era Muslim Saudara Mirza Nasution menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai suatu pengiktirafan HALUAN terhadap kegiatan Era Muslim. Menurutnya, kerjasama yang bakal dijalin selepas MOU berkenaan mudah-mudahan membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan Al Qur’an sendiri menganjurkan agar dakwah berjalan dengan berjemaah atau berorganisasi.

“Sebaiknya produk-produk media HALUAN di masa akan datang bakal menjadi rujukan semua peminat dan pecinta Islam di Malaysia dan ini memerlukan kreativiti yang luar biasa daripada kesemua aktivisnya,” kata Saudara Mirza.

MOU di antara HALUAN dan Era Muslim itu antara lain bakal menyaksikan kerjasama dalam penyediaan kandungan media. Era Muslim akan berkongsi pengalaman menyediakan kandungan serta mengenalpasti sasaran khalayak yang sesuai. Turut dibincangkan adalah usaha-usaha mendapatkan iklan dan penaja.

Selain para petugas media Haluan, turut hadir dan menyaksikan majlis menandatangani MOU berkenaan ialah Naib Presiden 2 HALUAN Malaysia Tuan Haji Sabbri Md Yudin, Ketua Biro Penerangan HALUAN Tuan Haji Ibrahim Abu Bakar, dan Ketua Jabatan Web Era Muslim Saudara Irman Idris.