fbpx

HALUAN JB Tanyalah Ustaz

HALUAN JB Tanyalah Ustaz

HALUAN JB Tanyalah Ustaz

JOHOR BAHRU, 22 Nov 2015 — Penceramah jemputan yang tidak asing lagi di kaca televisyen iaitu Ustaz Hanafiah Abdul Malek yang merupakan penceramah di rancangan Tanyalah Ustaz dan Halaqah di TV9 mengisi ruang dakwah HALUAN Johor Bahru pada 19hb lepas.

Ini sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan NGO berkenaan yang telah diadakan di salah sebuah rumah aktivis HALUAN di sini. Majlis dari jam 9.00 hingga 11.00 malam itu bertujuan memberikan kefahaman Islam yang lebih jelas kepada masyarakat setempat di samping merapatkan ukhuwah sesama ahli HALUAN dengan penduduk sekitarnya. Lebih 120 orang yang terdiri daripada ahli HALUAN dan masyarakat sekitar telah hadir.

Majlis dipengerusikan oleh Encik Hilmi Abdul Razak, wakil Biro Pengajian Tinggi Johor. Ustaz Hanafiah telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Al Fatehah Kontemporari. Beliau mengaitkan kandungan Surah Al Fatehah yang merupakan ibu Al-Quran dengan kehidupan seharian seorang Muslim. Antara kandungan penting ceramah adalah konsep pujian dan syukur kepada Allah SWT, Allah sebagai pentadbir serta Raja yang Agung bagi alam ini, sifat Allah yang Maha Penyayang serta kehendak Allah untuk menunjukkan manusia ke jalanNya yang lurus.

Majlis diakhiri dengan jamuan ringkas oleh tuan rumah untuk semua hadirin. HALUAN Johor Bahru berhasrat melaksanakan majlis seumpama ini lagi dari semasa ke semasa untuk membina masyarakat yang berilmu serta cintakan ilmu di samping membina silaturrahim yang erat sesama Muslim.


Laporan Nor Aishah Abdul Aziz, Setiausaha Biro HALUANITA Johor Bahru