fbpx

HALUAN-EPU Lancar Matematik Untuk Anak Yatim

HALUAN-EPU Lancar Matematik Untuk Anak Yatim

HALUAN-EPU Lancar Matematik Untuk Anak Yatim

BANDAR BARU BANGI, 12 Okt 2015 — Program Intervensi Anak Yatim oleh HALUAN dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah diteruskan dengan penganjuran siri ketiga iaitu Modul SMART MATEMATIK.

Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran matematik dan teknik menjawab soalan ketika peperiksaan. Ia juga untuk meningkatkan minat peserta terhadap mata pelajaran matematik, memberi ilmu, berkongsi pengalaman tentang cara menjawab matematik dalam masa yang singkat dan memastikan semua peserta dapat menjawab soalan matematik dengan kaedah yang mudah, pantas dan tidak rasa terbeban.

Modul kali ini telah disampaikan oleh Cikgu Sharuddin Ramli, seorang guru pakar matematik. Beliau sudah menjelajah hampir seluruh negeri di Semenanjung bagi mengajar Matematik dengan cara pengiraan yang mudah dan tidak membosankan.

Pada slot pertama, penceramah telah mengajar Operasi Integer 1. Objektifnya adalah untuk memastikan pelajar-pelajar anak yatim ini faham apa sebenarnya Operasi Integer itu. Pada Operasi Integer 2, pelajar diajar cara pengiraan yang mudah dan latihan demi latihan diberikan agar pelajar mahir dalam tajuk berkenaan.

Selesai makan malam dan solat maghrib berjemaah, aktiviti diteruskan dengan sesi 3 iaitu algebra. Mereka yang hadir terdiri daripada pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 yang sememangnya sedang mempelajari tajuk-tajuk berkenaan di sekolah. Dengan adanya modul sebegini, pelajar dapat lebih memahami cara pengiraan yang tepat dan mudah.

Keesokkan harinya, selepas solat subuh berjamaah, peserta keluar bertadabbur alam di Tasik Cempaka. Aktiviti ini dapat mengingatkan peserta betapa pentingnya hubungan diri dengan Pencipta alam ini. Slot yang seterusnya adalah persamaan Linear 1 disusuli dengan ujian pemantapan.

Sebelum tamat, peserta diajar persamaan Linear 2. Di penghujung program latihan khusus ini, Cikgu Sharuddin memberikan nasihat berguna kepada peserta. “Janganlah pelajar-pelajar menganggap matematik suatu pelajaran yang sukar dan dibenci. Anda harus perlu ubah persepsi bahawa matematik adalah satu subjek yang mudah dan menggembirakan. Yang paling penting, anda perlu tahu asas matematik itu sendiri. Dapat saja kuasai kunci ini, anda akan rasa seronok dan suka kepada matematik.”

Salah seorang calon PT3, Muhammad Zabir Hanif Mohamad Azian,15, bergembira dapat menghadiri modul matematik tersebut kerana ia membuka peluang untuk beliau melakukan ulang kaji di saat-saat akhir. “Doakan saya berjaya dalam ujian PT3 yang akan bermula besok,” katanya di akhir perbualan.

Nur Nadira Abdullah, 13, pula berkata, “Program ini sangat bagus kerana selama ini saya sangka matematik sangat susah. Rupanya mudah dan saya sangat gembira dapat bersama guru pakar matematik Cikgu Sharuddin.”

Pesanan terakhir Cikgu Shahruddin ialah matematik adalah ilmu yang perlu sentiasa dibuat latihan dan ulang kaji agar tidak mudah lupa.


Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiausaha Kerja Biro HALUANITA