fbpx

Seribu Sertai Mini Karnival Pendidikan

Seribu Sertai Mini Karnival Pendidikan

GOMBAK, 12 Okt 2015 – Lebih 1,000 orang membanjiri Dewan MPS, Taman Gombak hari Ahad lepas sempena Mini Karnival Pendidikan dan Hari Kantin Sekolah Rendah Islam Integrasi Ibn Kathir (SRIIIK) Kampung Changkat Gombak dan Tadika Raudhah Ibn Kathir (RIK). Program berkenaan dijayakan dengan kerjasama Biro HALUANITA Selangor (Unit Gombak).

Peserta terdiri daripada ibubapa daripada dua institusi tersebut, bekas pelajar serta penduduk setempat. Beberapa aktiviti telah berlangsung dengan jayanya bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir pukul 4.00 petang. Pelbagai gerai jualan yang menyajikan beraneka juadah dan barangan telah dikunjungi masyarakat setempat. HALUAN sebagai sebuah NGO berdaftar telah tampil untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Di antara aktiviti yang berlangsung adalah ceramah “Motivasi Pecutan SPM” oleh Pakar Motivasi HALUAN, Encik Mohd Razali Maarof. Para pelajar daripada sekolah berdekatan serta Kelab Bola Sepak di Sungai Buloh telah dapat memanfaatkan persembahan motivator berpengalaman itu dengan penuh bersemangat.

Selain itu juga, satu forum keibubapaan telah disampaikan oleh tiga orang ahli panel terulung. Mereka terdiri daripada Encik Noorazman Shamsuddin, Timbalan Ketua Biro HALUAN Palestin dan aktivis dalam isu pembebasan Palestin; Dr Farhan Mohd Hadi, seorang doktor perubatan dan motivator pendidikan anak-anak; serta Ustazah Fatimah Syarha, selebriti TV3, TV9 dan Pendakwah bebas.

Masing-masing dengan gaya persembahan yang memukau hadirin telah banyak menyentuh aspek pendidikan anak-anak di samping berkisah tentang pengalaman masing-masing.

Persembahan pelajar SRIIK dan RIK juga telah menceriakan suasana dengan keletah anak-anak yang mencuit hati ibubapa mereka ketika melakukan persembahan. Kesungguhan tenaga pendidik SRIIK dan RIK amat terserlah dengan minat serta kesabaran mereka melayani anak-anak soleh dan solehah ini.

Karnival turut dirancakkan lagi dengan pemeriksaan kesihatan percuma oleh pegawai perubatan dan kesihatan daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH). Ramai peserta mengambil peluang yang jarang ditemui ini. Dengan khidmat nasihat daripada doktor serta beberapa orang pakar perubatan, hadirin telah memperolehi penerangan tentang gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang sesuai dengan usia mereka.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin, Encik Ahmad Fisal Salleh. Beliau menyimpulkan bahawa program tersebut telah berjaya merapatkan hubungan silaturrahim di antara HALUAN dengan kakitangan sekolah, tadika dan masyarakat setempat. Turut menyampaikan hadiah adalah YDP HALUAN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Encik Ridhuan Rahmat.

Gerak kerja seumpama ini akan digiatkan lagi untuk mempositifkan masyarakat dengan gaya hidup Islamik. Kemeriahan karnival amat dirasai, usaha berbakti dan mendidik sangat bermakna dengan masyarakat setempat yang dahagakan didikan dan aktiviti yang bermanfaat.


Laporan oleh Khairul Azman

Antara peserta Motivasi Pecutan SPM

Gambar keseluruhan peserta Motivasi Pecutan SPM

Gerai jualan kerepek istimewa

Kaunter utama jualan kupon

Kebab brader ni memang special

Pakar Motivasi HALUAN

Pameran robotik

Panel forum keibubapaan

Pemeriksaan perubatan daripada Kelab Kesihatan HALUAN

Ucapan penutup oleh Ketua Biro HALUAN Palestin