fbpx

HALUAN Bersihkan Lumpur di Rumah Warga Cina

HALUAN Bersihkan Lumpur di Rumah Warga Cina

HALUAN Bersihkan Lumpur di Rumah Warga Cina

SUNGAI DUA, BENTONG, 10 Jan 2022 – Seluruh perkampungan Cina bagaikan kehairanan. Sekumpulan pemuda-pemudi Melayu seramai 17 orang tiba-tiba muncul di hadapan rumah mereka semalam untuk membantu mengeluarkan lumpur hitam berbau yang melanda seluruh rumah di perkampungan Sungai Dua semasa bencana banjir besar yang melanda seluruh negara pada penghujung bulan lepas.

Perkampungan kecil masyarakat Cina seramai 40 keluarga ini terletak betul-betul bersebelahan lebuhraya Bentong menghala ke Karak, berdekatan aliran Sungai Dua, Karak.

Rupanya percaturan gerakan pembersihan pasca-banjir ini telah diaturkan terlebih dahulu oleh koordinator Biro HALUAN Fitrah (BHF), Puan Nurasna Abdul Halim bersama ketua kampung berkenaan, Puan Ghee Kon Khye. Perkampungan 100% berbangsa Cina ini antara perkampungan kecil penempatan peneroka getah dan dusun yang masih ketinggalan dari segi kerja pembersihan.

Pasukan yang diketuai oleh relawan BHF, Encik Muhammad Syafiq Ahmad Fozi telah dibahagi dua kumpulan. Satu pasukan yang lebih besar ditugaskan mencedok selut keluar dari rumah Encik Wong Aai Loew manakala satu kumpulan kecil lain digegaskan ke Telemong, 30 minit dari situ, untuk menyampaikan beberapa barang keperluan penduduk seperti dapur gas, periuk nasi elektrik dan alas tiduran. Paras air banjir di kedua-dua lokasi berkenaan melepasi 8 kaki tinggi.

“Kerja pembersihan kami tertumpu kepada sebuah rumah kayu usang milik seorang warga emas. Kami terpaksa berhati-hati kerana lantai papannya sudah uzur dan mudah patah. Ditambah lagi dengan terputusnya bekalan air dan elektrik ke rumah berkenaan,” berkata Zulaikha Azmi salah seorang sukarelawan BHF yang turut serta.

Penyantunan kemanusiaan kepada mangsa bukan Islam ini merupakan sebahagian daripada tonggak misi BHF dalam ruang lingkup dakwah bil-hal. Semoga contoh keikhlasan sesama insan ini akan membuahkan mahabah yang baik serta mendorong mereka kepada mencari Tuhan yang sebenarnya.


Laporan Nurafifalin Mohd Som, Relawan BHF