fbpx

Generasi Muda Warnai Kepelbagaian Dalam Membantu Mangsa Bencana Banjir

Generasi Muda Warnai Kepelbagaian Dalam Membantu Mangsa Bencana Banjir

Generasi Muda Warnai Kepelbagaian Dalam Membantu Mangsa Bencana Banjir

BENTONG, 1 Jan 2022 — Setiap kejadian mahupun musibah yang menimpa membawa bersamanya peluang-peluang untuk berinteraksi dan menjalinkan persahabatan dengan orang-orang yang berbeza dari anda!

Seramai lapan sukarelawan generasi muda mewakili HALUAN cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menjayakan misi bantuan bagi mengagih sumbangan kepada penduduk yang terkesan banjir di Kampung Sungai Dua, di sini, yang rata-ratanya berbangsa Cina.

Sebanyak 20 keluarga telah disantuni dengan penuh mesra lagi muhibah. Keluarga-keluarga terbabit menerima makanan siap dimasak, di samping barangan asas seperti toto, karpet, air minuman, beras, sardin dan juga biskut.

Dengan mematuhi garis panduan dan operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh HALUAN, pasukan muda ini mulanya menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas, dikenali mesra sebagai Mak Cik Ah Fong. Mereka kemudiannya bertemu dan berkenalan dengan Ketua Kampung, Mak Cik Ghee Kon Khye. Beliau penuh bersemangat menceritakan selok-belok yang telah dialami oleh penduduk di situ ketika banjir melanda.

Mak Cik Ghee Kon Khye bahkan bersama mengikuti pergerakan para relawan, menunjuk arah ke rumah-rumah orang susah yang terkesan dalam bencana ini. Mereka juga terserempak dengan wakil-wakil Rescue Union Malaysia, yang memberitahu bahawa mereka sangat memerlukan tenaga sukarelawan untuk kerja pembersihan di Kampung Sri Telemong, Karak.

Sungguhpun misi bantuan mereka tidak sebesar mana, usaha golongan muda ini telah berjaya melaksanakan sumbang saran terbaik – berbuat baik adalah satu daripada dasar Islam dalam hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Mereka merasa bangga dapat berbakti kepada semua lapisan masyarakat yang berada dalam kesusahan, membawa rahmat kepada semua insan.

Sebelum ini, pasukan bantuan HALUAN yang menyantuni mangsa-mangsa banjir di Lembah Klang dan Pahang turut disertai oleh anak-anak muda dari bangsa India, Cina dan Bumiputera Sarawak. Penyertaan mereka menjadikan gerak kerja misi berwarna warni dan ceria, bekerjasama dengan suasana sangat membina.

Bencana ini benar-benar mengajar kita berhati mulia, memupuk perasaan serta sikap saling menghormati dan menghargai sesama masyarakat dengan berpegang kepada nilai-nilai kebaikan universal.

Tabung Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL)

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan oleh Nurasna Abd Halim, Ketua Misi HALUAN cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.