fbpx

GSS Akan Terus Tentang Kekejaman Di Syria

GSS Akan Terus Tentang Kekejaman Di Syria

GSS Akan Terus Tentang Kekejaman Di Syria

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2012 — Episod kekejaman dan pembunuhan di Syria terus mendapat perhatian dan tentangan daripada masyarakat dunia.

Seiring dengan “Global March For Syria’ yang berlangsung serentak di seluruh dunia menandakan usia setahun kekejaman terbaru di negara tersebut, anggota-anggota 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan Selamatkan Syria (GSS) bersama-sama orang awam, termasuk warga asing, telah berhimpun secara aman di Kedutaan Syria di ibu negara.

HALUAN bersama-sama di dalam gabungan ini yang antara lain terdiri daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM).

Bantahan atau demonstrasi aman yang bermula di hadapan Bangunan Tabung Haji telah bergerak ke lokasi kedutaan, yang jaraknya hampir 3 kilometer. Kira-kira 5000 orang peserta telah berarak dan melaungkan slogan bantahan dan seruan agar dihentikan episod pembunuhan dan kekejaman di Syria. Didahului dengan 2 pacuan 4 roda yang bertindak sebagai pembuka jalan, gerombolan yang berjalan ke lokasi dengan diterajui oleh pimpinan dan wakil pimpinan NGO yang terlibat. Sambil berpautan tangan, kesepakatan mereka amat dirasai.

Ahli-ahli Pemuda HALUAN dan Pemuda IKRAM yang berpakaian kuning telah bertindak sebagai pemudahcara kepada trafik dan kawalan keselamatan. Para peserta perhimpunan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur telah terbukti menyatakan bantahan dan laungan menolak kekerasan atau pembunuhan yang sedang berlaku di Syria. Setiba di lokasi, gerombolan perhimpunan telah di halang oleh pihak polis daripada menghampiri kawasan kedutaan atas sebab-sebab keselamatan tetapi membenarkan wakil perhimpunan untuk menyampaikan memorandum bantahan dan merealisasikan matlamat perhimpunan.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak keselamatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana memberi kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan perhimpunan aman ini.

Memorandum bantahan telah berjaya disampaikan kepada wakil kedutaan. Dalam ucapan balas mereka, pihak kedutaan berterima kasih dan berjanji akan melihat memorandum tersebut. Pada ketika yang sama, kata-kata bantahan berterusan dilaungkan oleh peserta perhimpunan yang berada tidak jauh daripada kawasan kedutaan. Setelah menyampaikan memorandum, setiap wakil NGO yang terlibat telah diberi peluang berucap untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Sidang media telah berlangsung di lokasi perhimpunan, menyaksikan hasrat perhimpunan telah berjaya disampaikan. Turut memberi ulasan tentang kemelut terkini di Syria adalah seorang wakil kepada rakyat Syria yang sedang melanjutkan pelajaran di Malaysia. Mereka benar-benar terharu dengan keperihatinan masyarakat Malaysia dan berterima kasih kepada semua pihak kerana menolak keganasan dan pembunuhan yang berlaku di Syria yang tentunya melibatkan keluarga dan sahabat handai mereka di Syria.

Sambil menyifatkan perhimpunan hari ini sebagai berjaya, Pengerusi GSS, Saudara Naim Jusri menyatakan pendirian bahawa penentangan terhadap keganasan ini akan diteruskan dan siri penerusan bantahan terhadap episod duka di Syria akan dirancang sehinggalah keamanan muncul semula di Syria.