fbpx

Janji Anak Soleh – KASeH 6

Janji Anak Soleh – KASeH 6

Janji Anak Soleh – KASeH 6

PASIR PUTEH, 15 Mac – Kelab Remaja Haluan (KeARAH) Kelantan telah menganjurkan Kem Anak Soleh (KASeH) kali ke-6 dari 12hb hingga 14hb Mac 2012 baru lalu di Kem Jeram Mengaji, Selising, Pasir Puteh. Seramai 60 orang peserta dari seluruh negeri Kelantan telah menyertai kem ini.

Seramai 40 orang tenaga urusetia dan fasilitator daripada kalangan ahli KeARAH dan HALUANSiswa Kelantan telah berganding bahu menjayakan program KASeH kali ini. Kem ini telah dipimpin oleh Abdullah Azam Bin Zulkifli selaku kem komanden dan dibantu oleh timbalan kem komanden, Nik Asma’ Salima Binti Nik Zainal Rashed.

Menurut penasihat program ini, Encik Mahmud bin Jaafar, program KASeH ini adalah berteraskan kepada satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila matinya anak-anak Adam, maka terputuslah ia dengan amalannya, melainkan 3 perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya.”

“Antara objektif utama yang digariskan dalam program ini ialah untuk menanam dan memantap aqidah anak-anak, kefahaman tentang kepentingan solat, melatih anak-anak tentang ibadat khusus, membina dan melahirkan kreativiti anak-anak serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah dan mempunyai qudwah hasanah,” terang Encik Mahmud. Istimewanya, kem ini juga bertujuan bagi melatih kepimpinan dan kewibawaan para fasilitator yang merupakan ahli KeARAH dalam mengurus sesuatu organisasi secara holistik.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang kem bagi menepati tema KASeH. Pada hari pertama, para peserta telah berpeluang untuk saling berkenalan dan beramah mesra melalui permainan-permainan yang bervariasi semasa sesi ice breaking dan team building. Para peserta juga didedahkan dengan slot penghayatan solat bagi mengetahui dan menghayati kepentingan solat dalam kehidupan seharian.

Selain daripada itu, mereka juga telah melalui sesi mind setting dan brainstorming yang diterapkan semasa slot “Siapa Anak Soleh Tu?” dengan member fokus kepada akhlak Islamiyah sebagai anak soleh. Seusai pengisian rohani, para peserta dicergaskan kembali dengan tayangan istimewa, “Hafalan Sholat Delisa”. Tayangan selama hampir dua jam ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada para peserta.

Membuka tirai hari ke dua, para peserta terlibat dengan aktiviti senamrobik yang dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator yang berpengalaman dan berkaliber. Di samping itu, semua peserta mengikuti aktiviti Kembara Alam Sirah di sekitar kawasan tapak perkhemahan. Kembara ini dilengkapi dengan permainan-permainan di setiap checkpoint yang menguji minda dan stamina para peserta di sepanjang trek kembara. Seterusnya, aktiviti Persembahan Kehebatan Saya yang diadakan pada sebelah malamnya pula dihiasi dengan pelbagai persembahan yang mempamerkan nilai Islamik dan mesej tersendiri. Para juri berpuas hati dengan bakat dan kreativiti yang ditonjolkan oleh para peserta melalui persembahan mereka.

Pada pagi hari terakhir, para peserta bangkit seawal jam empat pagi bagi mempersiapkan diri untuk menunaikan solat sunat Tahajjud dan solat Subuh secara berjemaah. Selepas menikmati sarapan pagi, para peserta bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar perkhemahan. Amal jamaie ini juga bertujuan melatih peserta untuk sentiasa menitikberatkan kebersihan dan keceriaan tempat kediaman.

Aktiviti KASeH diakhiri dengan ruangan Cetusan Hati dan Janji Anak Soleh. Aktiviti ini yang memberi fokus kepada pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, di mana ia telah berjaya menyentuh dan menyelami hati para peserta kem. Kem Anak Soleh kali ini melabuhkan tirainya menjelang tengah hari dengan acara perasmian penutup dan penyampaian sijil dan cenderahati kepada semua peserta KASeH.

Sesungguhnya, jalinan mahabbah kerana Allah itu indah dan ianya perlu sentiasa dibajai dengan pengorbanan, kasih sayang, keprihatinan, dan keredhaan. Alhamdulillah simpulan ukhwah yang dibina antara para peserta dan penggerak KASeH 2012 hingga ke syurga.

Sanjungan tinggi juga ditujukan kepada HALUANITA Kelantan juga turut sama menyumbang jasa yang begitu besar bagi menjayakan program ini. Mereka bertungkus-lumus merancang menu dan menyediakan hidangan untuk semua AJK pelaksana program dan juga para peserta.


Laporan disediakan oleh Nur Husna Zulkifli, Setiausaha Kem KASeH