fbpx

Formula Mengembalikan Kegemilangan Umat Islam di SPU2011

Formula Mengembalikan Kegemilangan Umat Islam di SPU2011

Formula Mengembalikan Kegemilangan Umat Islam di SPU2011

Kota Bharu, 9 Okt – “Kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar dalam kehidupan adalah formula untuk mengembalikan umat kepada kegemilangan Islam sepertimana yang pernah dibina oleh tamadun Islam sebelum ini.”


Demikianlah ucapan oleh YB Dato’ Hj Che Mohd Rahim bin Hj Jusoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) ketika merasmikan Seminar Pendidikan Ummah 2011 (SPU2011) di Balai Islam Lundang di Kota Bharu, Kelantan semalam. Seminar anjuran bersama JAHEAIK, HALUAN Kelantan dan Kolej Teknologi Darul Naim ini telah berjaya menarik perhatian 527 orang peserta daripada pelbagai peringkat umur yang memenuhi dewan semenjak jam 8.00 pagi.

Sejumlah tiga kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Profesor Dr Nik Azis bin Nik Pa dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya yang telah menghuraikan dengan panjang lebar tentang falsafah pendidikan Islam, pelaksanaan proses pendidikan Islam dan matlamat pendidikan Islam dalam membina tamadun baru pada masa hadapan.

Kertas kerja kedua pula telah dibentangkan oleh Dr Noor Hisham Md Nawi, pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau telah menyoroti penghayatan Islam dalam masyarakat pada masa kini.

“Kepincangan masyarakat yang kita hadapi pada hari ini adalah akibat daripada sikap masyarakat yang mengabaikan ajaran Islam yang sebenar di dalam kehidupan,” jelas beliau.

Dr. Azizan Ahmad, Naib Presiden Haluan Malaysia yang juga pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula membentangkan kertas kerja ketiga. Beliau telah menghuraikan tentang peranan Islam dalam menyelesaikan permasalahan sosial pada hari ini. Setiap individu dalam masyarakat bertanggungjawab untuk membawa dan menghayati dan menyebarkan Islam ke dalam masyarakat melalui proses tarbiyah yang tersusun dan terancang di semua peringkat.

Majlis Penutup Seminar telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr Abdullah Sudin Abd Rahman (gambar), Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim yang juga merangkap Presiden HALUAN Malaysia. Beliau telah merumuskan bahawa permasalahan sosial pada hari ini amat meruncing sekali dan penyelesaiannya adalah kita perlu kembali kepada penghayatan dan pengamalan nilai-nilai Islam dalam seluruh aspek kehidupan kita khususnya menjadikan Al Quran sebagai rujukan utama. Beliau juga menyeru generasi muda dengan slogan “ngaji biar panda, perangai biar juruh, hidup biar boleh tupe.“ Ianya bermaksud generasi muda perlu belajar setinggi mungkin dalam mendalami ilmu, memiliki akhlak yang mulia dan akhirnya dapat memberi manfaat kepada ibubapa, keluarga dan masyarakat.