fbpx

HS2 Puashati Dengan Projek 3M

HS2 Puashati Dengan Projek 3M

HS2 Puashati Dengan Projek 3M

Bukit Naga, Shah Alam, 2 Okt – Lebih 70 pelajar perubatan dan sains kesihatan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi serata Malaysia berkumpul di sini untuk menjayakan program Motivasi Minda Medik atau 3M yang berlangsung sehari suntuk, anjuran Haluansiswa Health Sciences (HS2) dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN (KKH), bertempat di Kompleks Haluan Penyayang (KHP), Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor.


Sesi pagi disemarakkan dengan kata-kata aluan daripada Pengarah Program 3M, Cik Safiyah binti Ahmad Yusoff (gambar). Momentum diteruskan dengan ceramah motivasi daripada penceramah jemputan Dr. Azizan Ahmad, seorang pakar motivasi dan juga merupakan seorang pensyarah Fakulti Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan membawa tajuk “Kesedaran Islam Sebenar Melahirkan Mahasiswa Rabbani,” membincangkan hakikat mengapa kita dijadikan oleh Allah di atas muka bumi ini.

Katanya: “Kamu ini adalah golongan yang dipilih Allah menjadi penyumbang untuk Islam, bermatlamat untuk mencari redha Allah.”. Perjalanan program diteruskan dengan ceramah kedua oleh seorang lagi penceramah jemputan. Ustaz Hussein Abdullah Thaidi, pelajar lepasan Universiti Madinah, telah membawa tajuk fiqh perubatan. Merangkumi aspek kemanusiaan berpandukan hukum-hakam Islam, beliau mengajak peserta untuk memahami, mendalami serta menghadam asas-asas kepada fiqh dalam mempraktikkannya dalam kerjaya masing-masingdi hari mendatang.

Peserta disajikan slot istimewa yang disampaikan oleh seorang aktivis HALUAN Malaysia daripada Misi Lifeline for Somalia, Encik Yusman Nawazir. Beliau mendedahkan realiti sebenar keadaan saudara-saudara kita di Somalia yang sedang bertarung untuk meneruskan kehidupan. Terpampar di mata para peserta kesedaran dan peduli mereka akan ujian yang diturunkan kepada rakyat nun di Somalia sana.

Sesi praktikal dalam slot terakhir membincangkan tentang fiqh perubatan, dikendalikan oleh relawan terdiri daripada warga KKH yang sudi mencurah pengalaman serta selok-belok dalam realiti masakini di samping cabaran yang menanti di alam kerjaya nanti.

Majlis penutup diserikan dengan ucapan penuh harapan daripada Pengerusi KKH, Dr. Wan Muhaizan Wan Mustapha yang berpuashati dengan kesungguhan penganjur dan para peserta dalam mejayakan program ini. Katanya bahawa “setiap amalan yang kita jalankan mestilah menjadi ibadah kepada Allah” terpahat di jiwa para peserta. Langsung terus, ucapan daripada presiden Haluan Siswa Health Sciences (HS2) Encik Mohd Imran bin Abdul Rahman (gambar), yang membuat satu kesimpulan iaitu “kita mestilah menjadi bukan sahaja apa yang kita kerjakan, tetapi kita juga mesti menjadi hamba Allah yang bertaqwa.”

Program berkenaan adalah pelabuh tirai untuk 3M untuk 2011. Menurut Cik Safiyah, program seumpamanya pada tahun hadapan akan dimaklumkan kemudian.