fbpx

Feiglin Pimpin Pendatang Yahudi Cerobohi Al-Aqsa

Feiglin Pimpin Pendatang Yahudi Cerobohi Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS, 2 Okt 2012 — Sejak awal pagi lagi seorang pemimpin fraksi pelampau parti Likud, Moshe Feiglin, diiringi oleh 50 pendatang Yahudi telah menceroboh masuk ke masjid Al-Aqsa dan melakukan upacara keagamaan mereka di dalam kawasan masjid mulia itu. Kehadiran mereka dikawal ketat oleh tentera Zionis.

Menurut laporan Yayasan Waqf dan Warisan al-Aqsa, sekumpulan 30 orang pendatang Yahudi yang lain turut memasuki kawasan masjid melalui Bab Al-Magharbeh dan berkeliaran di kawasan itu.

Tentera Zionis dilaporkan menangkap empat orang jurnalis Palestin, seorang jurugambar dan seorang kanak-kanak perempuan yang berada di dalam masjid tersebut. Puluhan askar dari pasukan khas memasuki seluruh kawasan masjid dan memaksa mereka yang berumur di bawah 45 tahun supaya keluar dari masjid mulia itu.

Menurut laporan agensi berita Palestin WAFA, pasukan polis Zionis bertebaran di seluruh kawasan sekitar masjid, terutama sekali di pintu masuk utama, semua lorong-lorong dan jalan-jalan menuju ke masjid.

Jawatankuasa Islam-Kristian mengutuk pencerobohan berterusan tentera Zionis ke atas masjid al-Aqsa dan serangan kejam mereka ke atas rakyat Palestin. Jawatankuasa itu menyeru setiap pihak mempertahankan Baitulmuqaddis dan semua tempat-tempat suci di sini.

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam. Masjid tersebut juga menjadi tempat pilihan Allah SWT dalam peristiwa besar Israk dan Mikraj Rasulullah SAW. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam untuk memerlihara masjid ini daripada kejahatan Zionis Yahudi. Bantulah umat Islam di Palestin yang saban hari mempertaruh darah dan nyawa mereka demi menjaga amanah umat Islam ini. Sekurang-kurangnya setiap orang Islam harus mendoakan supaya setiap perancangan dan aksi jahat Yahudi ini akan digagalkan oleh Allah SWT.


Sumber berita Palestine News Network.