fbpx

Korban Kita Warisan Amalan Anbiya’

Korban Kita Warisan Amalan Anbiya’

Korban Kita Warisan Amalan Anbiya’

SUBANG JAYA, SELANGOR, 3 Oktober 2012 — Ramai pelajar muda dan dewasa pernah bertanya kepada ustaz dan ustazah – apakah amalan korban yang sering mengunjungi kita saban 10 Zulhijjah itu suatu tradisi yang diamalkan oleh baginda Rasulullah SAW, kaum keluarga dan para sahabat baginda? Adakah ianya suatu kesuburan amalan yang diteraptubi oleh baginda untuk ummatnya?

Kita dengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. hingga membawa kepada amalan ini sebagai tuntutan muakad. Bagaimana dengan Nabi-nabi sebelum baginda? Rasanya baru sangat lagi saya belanja wang untuk berkorban; tup tup datang lagi borang dan emel meminta saya berkorban tahun ini. Makin mahal pula tu. Apakah harus saya berkorban saban tahun pada Raya Haji ini?

Bila ustaz menjelaskan cerita asal kurban ini, barulah terbeliak mata pelajar-pelajar, merenung lebih jauh hingga kepada Nabi Adam a.s. yang pernah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berkorban demi mencari kebenaran. Kata ustaz, korban yang pertama adalah korban yang diperintahkan Allah SWT ke atas dua orang anak lelaki Nabi Adam a.s. iaitu Qabil dan Habil.

“Setelah Allah SWT menerima taubat Adam a.s. dan Hawa semasa mereka dicampakkan di dua benua berjauhan di bumi, Allah mempertemukan dua kekasih sejati ini dan memberikan mereka zuriat berkembar lelaki dan perempuan sebanyak dua kali. Pasangan pertama adalah Qabil (lelaki) dan Iqlimiya’ (perempuan). Selepas itu, Allah SWT mengurniakan mereka pasangan kembar kedua iaitu Habil (lelaki) dan Lubuda (perempuan). Itulah zuriat generasi pertama insan Islam di mukabumi lahir daripada Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa a.s.,” ustaz menjelaskan kepada para pelajar mualafnya yang terpaku dengan cerita fakta itu.

Dipendekkan cerita, bila Allah SWT memerintahkan Qabil mengahwini kembar kepada Habil iaitu Lubuda, dan Habil dengan kembar Qabil iaitu Iqlimiya’, berlakulah protes yang pertama di dalam Islam kerana Qabil lebih berkenan untuk mengahwini kembarnya sendiri iaitu Iqlimiya’ yang jauh lebih cantik rupa parasnya berbanding Lubuda. Akhirnya Allah SWT memerintahkan mereka berdua menyediakan korban untuk di adili oleh Allah SWT.

Qabil mempersembahkan hasil tanamannya manakala Habil menyediakan hasil penternakannya sebagai korban di hadapan Allah SWT. Diriwayatkan turun api dari langit yang menyambar persembahan Habil menandakan penerimaan daripada Allah SWT. Qabil masih tidak berpuashati, irihati dengan situasi itu lantas membunuh saudara kandungnya Habil, hanya kerana ketidakpuasan hati dan tidak sanggup berkorban kehendak nafsu dengan pilihan Allah sendiri.

“Begitulah kita pada hari ini,” ujar sang ustaz kepada pelajar mualafnya. “Kita sentiasa mahukan apa yang kita hendak sahaja dan kita sanggup membuat apa saja asalkan kita dapat. Tidak pernah kita tanya kepada Allah – ya Allah, tunjukkan kepada ku apa yang terbaik bagi ku. Aku akan pasrah di atas pilihan Mu”.

Kemudian ustaz pun mengaitkan dengan amalan korban tahap tertinggi oleh Nabi Ibrahim a.s. (Abraham dalam kitab bible, memandangkan majoriti pelajarnya adalah bekas penganut Kristian Katolik, Protestan dan SIB) bila diperintahkan kepadanya untuk menyembelih anak kandung tunggal kesayangannya, Nabi Ismail a.s. (Ishmael). Sehinggalah ketulusan dan kebulatan tekad Nabi Ibrahim a.s. itu (ultimate surrender to God) diterima oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik bukti ubudiyah yang pernah ditunjuki oleh seorang manusia dan Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor qibas yang cantik dan gemuk sebagai korban di saat pisau tajam sudah berada di kerongkong anak kesayangannya itu.

Senyap sunyi kelas itu. Mata terpaku kepada ustaz. Masing-masing terbayang bagaimana kasih-sayang sesama manusia boleh diuji sehingga begitu tinggi nilai dan martabatnya dengan meletakkan arahan Allah di hadapan.

“Do you have anyone that you dearly love?,” ustaz bertanya kepada pelajarnya. Mereka mengangguk kepala; semua bangsa – Nigeria, Filipina, Malaysia, Botswana, Vietnam. “Will you then slaughter him or her, even if commanded by your Creator?,” ustaz bertanya lagi. “No!”, jawab pelajar sambil menggeleng kepala masing-masing.

“But Abraham was never in two minds when commanded by Allah to do likewise. We know we do not come close to such level of piety and obedience. And even the least of Allah’s commandments we fail to obey (Tetapi Ibrahim tidak pernah teragak-agak bila Allah memerintahkan beliau mengorbankan anaknya. Kita sedar kita tidak akan dapat capai tahap amalan dan ketaatan sebegitu tinggi. Malahan perintah Allah yang kecil-kecil pun kita gagal melaksanakannya),” jelas ustaz kepada pelajarnya untuk menyedarkan peri penting amalan korban itu.

Kita boleh saja menikmati berbagai jenis juadah daging di restoran dan warung di seluruh negara. Ada yang jemu memakan daging dan ayam hingga mencari alternatif lain untuk menaikkan selera makan. Ada yang sanggup memandu berpuluh kilometer jauh kerana dikhabarkan di sana ada juadah sedap! Pilihan rambang di depan mata sebaik saja tiba di restoran.

Namun ada manusia dewasa dan kanak-kanak menelan air liur semasa melihat majalah atau papantanda iklan besar yang memaparkan keenakan juadah itu dan ini. Perut mereka berbunyi merungut kelaparan. Di bumi-bumi yang HALUAN Malaysia pernah berbakti, hatta di sesetengah kampung terpencil di Indonesia sekalipun semasa meyantuni mangsa gempabumi, ada mangsa yang menceritakan, “kami sudah lama tidak merasa apa itu daging”.
Dan kita meninggalkan cebisan daging dan beberapa lauk pauk lain di dalam pinggan kita sambil mengangkat punggung menuju ke kaunter pembayaran di restoran. Tanpa rasa bersalah. Pinggan kita itu, jika dibiarkan, akan dijilat licin oleh anak-anak miskin Somalia, Kemboja, Vietnam, Bangladesh, India dan beberapa negara lain yang umat Islamnya miskin dan tertindas.

Oleh itu, jom kita berkorban tahun ini. Usah peduli apa orang lain kata kerana kita yakin amalan korban ini adalah sesuatu muakad yang Allah sangat gemarkan kita mengamalkannya. Buangkan sifat riya’, takabbur dan ujub dalam diri agar amalan ini dapat diangkat oleh Allah SWT sebagai pemberat timbangan amal kita nanti. Pilih saja bumi-bumi yang kekurangan zat protin dan di mana anak-anak kecil mengidam hendak merasa nikmat menjamah daging setelah sekian lama tidak berpeluang menikmati juadah itu. Merek juga sebaya dengan anak-anak kita – cuma mereka ditakdirkan miskin.

Buatkan tempahan anda dengan pilihan negara seperti di bawah.

Kod Keterangan RM
A Somalia – korban kambing (seekor) atau unta (sebahagian) 320.00
B Kemboja, Thailand, Bangladesh, India, Vietnam – korban lembu (sebahagian) 280.00
C Kemboja – Aqiqah kambing (seekor) *termasuk kos pengurusan 550.00
D Palestin – Korban kambing (seekor) atau lembu (lsebahagian) 1200.00
Anda boleh isikan terus borang penyertaan anda di link berikut: http://korban.haluan.org.my/borang

Hadits Zaid ibn Arqam, ia berkata atau mereka berkata: “Wahai Rasulullah SAW, apakah korban itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Korban adalah sunnahnya bapa kamu, Nabi Ibrahim.” Mereka menjawab: “Apa keutamaan yang kami akan perolehi dengan korban itu?” Rasulullah menjawab: “Setiap satu helai rambutnya adalah satu kebaikan.” Mereka menjawab: “Kalau bulu-bulunya?” Rasulullah menjawab: “Setiap satu helai bulunya juga satu kebaikan.” HR. Ahmad dan ibn Majah


Artikel susunan Kelab HALUAN Fitrah Malaysia (HALUANFitrah). HALUANFitrah memberi fokus dakwah kepada saudara baru dan golongan belum Islam.