fbpx

Dunia Tersalah Fokus Tentang Permasalahan Palestin – PCHR

Dunia Tersalah Fokus Tentang Permasalahan Palestin – PCHR

Dunia Tersalah Fokus Tentang Permasalahan Palestin – PCHR

pchr-01BANDAR BARU BANGI, 10 Dis 2013 — Masyarakat dunia tersalah fokus dalam menangani permasalahan Palestin. Pada umumnya isu Palestin dilihat sebagai permasalahan yang menyentuh tentang keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air, makanan dan ubat-ubatan serta kesukaran untuk keluar-masuk, sedangkan permasalahan sebenar yang membawa kepada semua krisis berkenaan tidak diutamakan.

Demikian rumusan laporan yang diterbitkan oleh Palestinian Centre for Human Rights (PCHR) di Gaza pada 4 Disember lalu. Menurut PCHR, punca sebenar kepada semua krisis melibatkan Palestin adalah penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin. Malang sekali perkara ini tidak diberi perhatian oleh pemimpin dan masyarakat dunia. Sebagai akibatnya rejim Zionis bebas menodai hak rakyat Palestin, termasuklah dalam hal perluasan kawasan penempatan haram Yahudi, rampasan tanah dan rumah kediaman rakyat Palestin, keganasan serta serangan tentera Zionis terhadap masyarakat awam dan juga sekatan berterusan serta kawalan sepenuhnya ke atas penduduk Gaza.

Tahun 2013 mencatatkan rekod terburuk dalam perihal hak asasi manusia di Palestin. Penduduk awam Palestin terus menjadi mangsa pelanggaran hak asasi oleh pihak berkuasa dan tentera Zionis dengan semakin ketara dari hari ke hari. Laporan bertajuk “Summary Report on the Human Rights Situation in the Occupied Palestinian Territory in 2013” itu turut menjelaskan beberapa pelanggaran hak asasi melibatkan rakyat Palestin, termasuklah perkara-perkara berikut:

  1. Pembunuhan secara sengaja dan penafian hak rakyat Palestin untuk hidup dengan selamat.
    Dari awal tahun sehingga Oktober 2013, seramai 24 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Zionis, termasuk empat orang kanak-kanak dan seorang wanita. Seramai 428 orang lagi tercedera akibat kekerasan yang dilakukan oleh tentera Zionis.
  2. Pengepungan dan sekatan terhadap rakyat Palestin daripada bebas bergerak.
    Pengepungan ke atas Gaza sejak 7 tahun lalu membawa kepada krisis kemanusiaan yang luar biasa terutama berkaitan kemiskinan, pengangguran dan keperluan makanan. Zionis menyekat hak asasi rakyat Gaza untuk mendapatkan pekerjaan, rawatan kesihatan dan pendidikan, sekaligus merudumkan lagi keadaan ekonomi dan sosial mereka.

Zionis turut menyekat rakyat Gaza daripada mendapatkan rawatan kecemasan di luar wilayah yang terkepung itu sehingga ratusan pesakit terperangkap di pintu-pintu masuk. Penutupan pintu masuk Rafah di sempadan Mesir dalam tempoh yang panjang mengeruhkan lagi keadaan.

Langkah rejim Zionis yang kononnya “meringankan” sekatan ke atas Gaza tidak sekali-kali menyelesaikan sebarang masalah. Krisis di Gaza hanya dapat diselesaikan dengan cara menghentikan sekatan secara menyeluruh.

  1. Serangan Zionis di Gaza.
    Tentera Zionis secara berterusan menyerang penduduk Palestin dan kebun serta harta-benda mereka di sepanjang sempadan di utara dan timur Gaza. Penembak jarak jauh tentera Zionis menyasar penduduk Gaza yang bekerja di kebun mereka serta kawasan berdekatan sempadan, menyebabkan banyak kemusnahan harta dan kematian serta kecederaan. Tidak kurang juga yang diculik, termasuk kanak-kanak.
  2. Serangan ke atas nelayan Gaza.
    Laporan itu juga menyingkap tindakan tentera Zionis yang sentiasa menyerang nelayan Gaza dan merosakkan peralatan menangkap ikan. Sungguhpun Perjanjian Oslo telah menetapkan sempadan perairan Palestin sejauh 20 batu nautika, tentera Zionis mengurangkan jarak itu kepada hanya 3 batu nautika. Bahkan dalam zon yang kecil sebegitu tentera laut Zionis secara berterusan menyerang nelayan Gaza dan merosakkan atau merampas bot serta peralatan mereka. Lebih 75,000 rakyat Gaza bergantung kepada industri perikanan.
  3. Penangkapan, penahanan, penyiksaan, dan layanan tidak berperikemanusiaan.
    Tentera Zionis bebas menangkap sesiapa sahaja, samada seorang suspek jenayah mahupun ahli keluarga mereka, orang dewasa atau kanak-kanak. Seramai 2,074 orang telah ditangkap atau diculik sepanjang tahun 2013. Mereka yang ditangkap itu dikenakan berbagai bentuk penyiksaan fizikal dan mental. Mereka juga dinafikan mendapat lawatan daripada peguam mahupun ahli keluarga.

Tahanan juga dinafikan hak untuk mendapat rawatan perubatan ketika berada dalam tahanan sehingga ada yang maut.

  1. Perluasan kawasan penempatan haram dan serangan oleh penduduk Yahudi.
    Perluasan kawasan penempatan Yahudi terutamanya di Tebing Barat merupakan satu lagi perlanggaran hak yang ketara. Harta dan tanah rakyat Palestin sering diserang dan dirampas oleh pendatang Yahudi yang bersenjata dan dibantu oleh tentera Zionis.
  2. Tidak ada lagi keadilan dalam sistem perundangan Zionis.
    Sejak 16 Julai 2012, rakyat Palestin secara rasminya dinafikan sama sekali hak untuk mendapat pengadilan di mahkamah. Polisi yang diputuskan oleh Knesset ini turut menafikan hak rakyat Palestin daripada mendapatkan pembelaan atau pampasan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Yahudi.

Laporan PCHR itu juga menyentuh tentang perlanggaran hak yang dilakukan oleh pihak berkuasa Palestin sendiri terhadap rakyat mereka.

Apa yang jelas, jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis dan sekutunya ke atas bangsa Palestin adalah merupakan satu permasalahan bagi seluruh umat manusia. Setiap perlanggaran hak manusia harus dihakimi mengikuti undang-undang dan nilai kemanusiaan sejagat, bukan di atas tekanan dan kepentingan politik pihak tertentu. Penjajahan sesama manusia harus ditolak oleh setiap bangsa yang inginkan kedamaian dan kemajuan.

Justeru setiap kita mempunyai peranan terhadap apa yang berlaku di Palestin. Sampaikanlan kesedaran tentang permasalahan Palestin kepada masyarakat, ajaklah mereka supaya prihatin dan aktif membantu. Bongkarlah kejahatan Zionis, hindarkan diri dan keluarga kita daripada membeli sebarang produk yang secara langsung menyokong rejim Zionis. Sertailah kempen-kempen solidariti untuk Palestin, dan setidaknya hulurkanlah doa agar rakyat Palestin dapat terus bertahan dan akhirnya bebas dari kejahatan dan penjajahan Zionis.


Laporan Unit Media, Biro HALUAN Palestin. Sumber maklumat dari PCHR.