fbpx

Banjir : Mengubah Musibah Menjadi Peluang

Banjir : Mengubah Musibah Menjadi Peluang

Banjir : Mengubah Musibah Menjadi Peluang

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusan baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberikan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur, dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar. Maka kebaikan baginya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

HALUAN bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa banjir di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Melihat apa yang berlaku di Kuantan, Pahang terutamanya benar-benar menyentuh nurani dan fitrah insani untuk sama-sama kita menghulur apa jua bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah cetusan hati relawan-relawan HALUAN yang kini bergiat aktif menyusun gerak kerja dan membantu para mangsa banjir di lapangan. Kerosakan, kemusnahan, kehilangan harta benda dan kematian orang tersayang tentunya meninggalkan kesan kepada hati-hati insan yang melihat musibah ini dan apatah lagi bagi mereka yang menanggungnya.

Musibah, ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah SWT ini harus dilihat dengan kaca mata keimanan dan ketakwaan agar ia benar-benar menjadi bahan tarbawi (pendidikan) yang mendidik kita untuk tunduk, kembali dan berserah kepada Allah SWT yang Maha Kuasa, Maha Agung dan Maha Bijaksana.

Transformasi Musibah Menjadi Peluang

Bagi yang menjadi mangsa, keperluan untuk menghubungkan segala ketentuan ini kepada Allah SWT tentunya memerlukan mujahadah yang tinggi. Namun, sama-sama kita menyakini bahawa setiap apa berlaku tentunya ada hikmah disebaliknya yang tidak terzahir pada mata kasar. Saat ini, mendidik jiwa dan hati untuk menjadikan musibah bencana ini sebagai peluang untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Al-Baqarah 2 : 155-157)

Musibah sebagai kafarah segala dosa dan kesalahan kita. Inilah peluang untuk kita membersihkan jiwa-jiwa dan hati-hati yang berkemungkinan telah jauh daripada Allah SWT. Mungkin juga, sebagai titik muhasabah untuk kita merenungi sekejap segala nikmat, kurniaan dan pemberian yang melimpah ruah kepada kita semua ini.

Persoalan-persoalan ini harus ditimbulkan dalam hati, agar lahir kepasrahan, kesabaran, ketabahan dan kebergantungan kita hanya sanya kepada Allah SWT.

Bagi yang tidak mengalami musibah ini, ini sebenarnya adalah peluang untuk kita juga. Peluang, kesempatan dan ruang untuk kita melipatgandakan pahala kita semua. Bukankah dengan membantu, mendoakan dan memberikan apa jua yang kita ada untuk meringankan bebanan mereka itu satu peluang melakukan kebajikan yang sedang terbentang luas saat ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

“Iaitu orang yang menginfakkan, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
( Ali Imran 3 : 133 dan 134)

HALUAN sangat mengalu-alukan apa jua bentuk bantuan daripada semua rakyat Malaysia yang budiman. Kami bertekad untuk menyalurkan semua bantuan terus kepada mangsa agar segala keperitan, kerisauan dan kemurungan mereka mampu diringankan.

Bersama kita menggembleng tenaga, kudrat dan apa jua yang kita miliki untuk saudara-saudara kita yang saat ini ditimpa musibah. Huluran bantuan, sedekah dan infak di saat senang dan susah adalah amalan yang mulia yang dicintai oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita merebut peluang ini untuk berbakti kepada mereka yang lebih memerlukan.

Seruan dan ajakan saya juga kepada seluruh ahli HALUAN dan para relawan di seluruh Malaysia agar sama-sama kita membumikan aspirasi HALUAN iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti dengan menyahut seruan misi pada kali ini. Kita benar-benar memerlukan jumlah relawan yang ramai bagi menjayakan misi membantu mangsa sehabis baik yang mungkin.

Harapannya, agar melalui misi kemanusiaan ini akan terus subur tumbuhnya ruh dan semangat menyantuni segenap lapisan masyarakat yang memerlukan kita saat ini. Marilah sama-sama kita jadikan musibah ini sebagai peluang. Peluang untuk meraih pahala dan keredhaan daripada Allah SWT.

Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN