fbpx

Temubual Bersama SUA: Banjir di Kuantan

Temubual Bersama SUA: Banjir di Kuantan

Temubual Bersama SUA: Banjir di Kuantan

Temubual Bersama SUA: Banjir di Kuantan
Mohd Ghani Salleh di lokasi banjir Sungai Isap, Kuantan, Pahang.

Soalan: Setelah bergerak di beberapa lokasi banjir di negeri ini, apakah taksiran tuan terhadap langkah-langkah bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa?

Kita melihat keperluan mangsa-mangsa banjir pada tahap keparahan yang ada pada mereka. Yang pertama kita melihat dari segi psikologi mangsa. Sebahagian besar daripada mereka mengalami masalah trauma. Lantaran itu, kita memerlukan bantuan-bantuan dan sokongan-sokongan yang dapat menenangkan mereka di samping bantuan berbentuk material dan keperluan asas seperti pakaian, lampin dan lain-lain.

Selain itu, bantuan perubatan amat penting dan segera. Kerana kebiasaannya, selepas banjir besar seperti ini akan berlaku dan menularnya wabak penyakit. Tetapi yang amat serius di kawasan Sungai Isap ialah putusnya bekalan elektrik. Sehingga kini, sudah hampir seminggu tiada bekalan elektrik. Hal ini menyebabkan kesukaran bagi kami untuk membantu kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah mangsa.

Justeru, kami memerlukan bantuan, tenaga dan relawan yang banyak bagi melancarkan misi kemanusiaan banjir ini.

Soalan: Relawan HALUAN dikatakan sedang beratur menunggu giliran untuk berbakti. Bagaimanakah tuan akan menyusun pasukan-pasukan tuan memandangkan banjir kali ini agak besar dan melanda empat buah negeri setakat ini?

Kita mempunyai perancangan untuk pelaksanaan secara berperingkat. Pertama, kita mengenalpasti dari segi lokasi. Maksudnya, lokasi yang kritikal atau negeri yang sangat-sangat memerlukan bantuan maka kita akan hantar relawan kita ke sana.

Di setiap negeri, kita juga telah menyusun beberapa operasi perlaksanaan secara berperingkat. Kita akan berikan fokus kepada tempat-tempat awam dan juga mangsa-mangsa yang terdiri daripada ahli HALUAN dan pusat-pusat pengajian atau institusi pendidikan yang dinaungi oleh HALUAN sendiri.

Kemudian kita akan teruskan gerak kerja ini kepada masyarakat yang memerlukan. Hal ini kerana kita melihat kepada tahap keupayaan tenaga dan kehadiran para relawan. Jadi, kita sebenarnya amat-amat mengalu-alukan jumlah relawan yang ramai kerana terdapat pelbagai bidang tugas yang banyak untuk dikerjakan dalam misi kemanusiaan ini. Kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan perumahan di sini, terutama Sungai Isap, boleh dikatakan hampir 100% terlibat dengan bencana ini, menunggu-nunggu serta menanti-menanti para relawan untuk meringan dan membantu membersih kawasan rumah mereka yang dilanda musibah banjir ini.

Mohd Ghani (kanan) memerhati relawan HALUAN di lapangan ketika operasi bantuan dan pembersihan dilakukan

Soalan: Bagaimanakah pihak HALUAN memantau keadaan banjir yang agak meluas ini?

Kita telah menggerakkan operasi banjir ini dengan melancarkan Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) dan mewujudkan Pusat Operasi secara berpusat di Ibu Pejabat HALUAN yang terletak di Bandar Baru Bangi.

Daripada pusat operasi ini, kita akan dapat mengumpul maklumat-maklumat terkini dan berdasarkan maklumat ini kita akan merancang dan menyusun gerak kerja.

Soalan: Agaknya berapa lama HALUAN akan terus berbakti kepada mangsa-mangsa banjir ini?

Berdasarkan pengalaman kita di beberapa buah negeri pada misi-misi yang sebelum ini, iaitu di Pahang pada tahun 2001 dan juga Terengganu kita akan beroperasi selama sebulan sehingga mangsa-mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing.

Kita akan lakukan secara bergilir bagi semua relawan dari seluruh negeri di Malaysia yang menyahut dan mendaftar untuk menyertai misi kali ini.

Aktiviti pembersihan di sebuah rumah oleh relawan HALUAN

Soalan: Kita tahu HALUAN sudah mempunyai banyak pengalaman dalam bantuan banjir sejak 2001 dan juga di Jogjakarta dulu. Apakah pengajaran/iktibar yang boleh kita ambil daripada bencana alam seperti banjir ini?

Bencana alam seperti ini adalah proses sunatullah. Yang pentingnya, kita hendak sama-sama membawa kesedaran kepada masyarakat tentang hakikat musibah dan ujian ini sebagai didikan daripada Allah SWT.

Dan bagi ahli HALUAN, sama-sama kita jadikan musibah ini sebagai peluang berbakti dan juga mempertingkatkan kepakaran kita dalam pelbagai bidang dalam usaha berbakti kepada masyarakat.

Soalan: Seandainya ada orang ramai yang ingin saling membantu tetapi tidak berkesempatan, bagaimanakah mereka boleh membantu HALUAN dalam menyantuni mangsa-mangsa yang ada?

Mereka boleh memberikan bantuan dalam bentuk material dan juga sumbangan berbentuk wang ke tabung Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN yang akan kita salurkan terus kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Hal ini boleh dirujuk terus ke website HALUAN yang memaparkan maklumat yang berkaitan bagi memudahkan semua pihak menyalurkan bantuan.


Orang ramai digalakkan membantu dalam bentuk sumbangan kewangan melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian 019 600 7658 atau 03 8926 8892.