fbpx

Dakwah No.1, Akademik Bukan No.2 di SKEMA 1.0 Zon Utara

Dakwah No.1, Akademik Bukan No.2 di SKEMA 1.0 Zon Utara

Dakwah No.1, Akademik Bukan No.2 di SKEMA 1.0 Zon Utara

GELUGOR, 12 Dis 2015 — Seramai 83 orang mahasiswa telah mengikuti Seminar Kesejahteraan Mahasiswa (SKEMA 1.0) anjuran Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Zon Utara dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Rekreasi Fizik (KESUREF), Universiti Sains Malaysia (USM). Bertemakan ‘Mahasiswa Bersinergi, Pemangkin Legasi’, SKEMA 1.0 kali ini telah diadakan di USM, Pulau Pinang.

Seminar dimulakan dengan slot pertama bertajuk ‘Dakwah No.1, Akademik Bukan No.2’ yang telah disampaikan oleh Dr Razali Maarof. Beliau merupakan seorang motivator HALUAN yang kini bertugas di Kolej Teknologi Darulnaim. Beliau telah berkongsi berkenaan kekeliruan identiti di kalangan mahasiswa pada era ini yang banyak mempengaruhi kesan pembentukan jati diri mahasiswa itu sendiri.

Beliau juga menekankan bahawa terdapat pelbagai jenis hala tuju mahasiswa antaranya mahasiswa kupu-kupu, mahasiswa kuper-kuper, mahasiswa kubis-kubis, mahasiswa kupak-kupak, mahasiswa kuti-kuti, mahasiswa tijoy-tijoy, mahasiswa cintaku, mahasiswa gajet, mahasiswa keliru dan mahasiswa rabbaniyun. Sehubungan dengan itu, hanya mahasiswa rabbaniyun sahaja yang memiliki hala tuju kehidupan yang jelas bagi meraih keredhaan Allah SWT. Dengan kejelasan tujuan hidup ini, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh membina karakter diri melalui ilmu dan menyampaikan kebaikan kepada orang melalui dakwah. Oleh itu, beliau menegaskan bahawa tiada perbandingan antara dakwah dan akademik. Kedua-duanya perlu diselarikan kerana akademik merupakan platform dakwah bagi seorang mahasiswa.

Kemudian, seminar diteruskan lagi dengan penyampaian slot kedua iaitu ‘Bahtera Penyelamat Mahasiswa’ yang disampaikan oleh Encik Rosdi Baharom, seorang Alumni USM. Beliau menerangkan bahawa Islam pada hari ini berada di dalam keadaan ghurabah atau asing. Sebagai seorang muslim, kita berfikir dan berusaha untuk keluar dari keadaan ini. Dalam masa yang sama tegas beliau lagi, pastinya terdapat banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi oleh seseorang itu. Maka dengan itu, di sinilah pentingnya proses tarbiyah diri agar dapat memberikan sumbangan untuk memenangkan Islam.

Menurut Pengarah SKEMA 1.0, Encik Nazirul Naufal Dimshari, beliau berpuas hati secara keseluruhan dengan pelaksanaan program dan pengisian yang telah disampaikan oleh kedua-dua penceramah jemputan, Dr Razali dan Encik Rosdi walaupun program SKEMA 1.0 ini merupakan kali pertama diadakan di zon utara. Maklum balas yang diterima dari para peserta juga amat memberansangkan. Beliau juga berharap agar semua peserta mendapat manfaat daripada program SKEMA 1.0 (Zon Utara) ini dan dalam usaha kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

SKEMA diakhiri dengan ucapan penutup yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua SiswaHALUAN Pulau Pinang, Muhamad Ashiq Akif Ab Aziz.

Dengan ini diharapkan agar SKEMA pada kali ini dapat membuka minda mahasiswa agar cakna untuk menjadi seorang mahasiswa yang bersinergi dari semua aspek sekaligus menjadi pemangkin legasi yang dapat mencipta kecemerlangan umat pada masa akan datang.


Laporan Muhamad Ashiq Akif Ab Aziz