fbpx

Selangor bertemu Putrajaya di Liga Bola Sepak WT

Selangor bertemu Putrajaya di Liga Bola Sepak WT

Selangor bertemu Putrajaya di Liga Bola Sepak WT

CYBERJAYA, 8 Disember 2015 — Liga Bola Sepak HALUAN Wilayah Tengah telah berlangsung julung kalinya bermula dengan perlawanan pembukaan di antara pasukan Putrajaya melawan Selangor di Kompleks Sukan TM Cyberjaya 6 Disember lepas.


Perlawanan tersebut telah dirasmikan oleh Encik Baderol Allam Awang selaku YDP HALUAN Putrajaya. Beliau juga merupakan bekas pengurus pasukan bola sepak JKR Kelantan selama tiga tahun dan pernah memenangi piala FA.

Tujuan diadakan Liga Bola Sepak ini adalah sebagai persiapan pasukan bola sepak zon tengah yang lebih mantap untuk menghadapi saingan Karnival Sukan Nasional HALUAN (SUKHAL) pada tahun 2016 nanti, berkata pengarah program Encik Hamdan Salleh. Antara objektif lain adalah untuk mengeratkan ukhuwah dan kebersamaan para pemuda dalam rangka pembentukan rijal, di samping menghidupkan budaya bersukan di kalangan ahli HALUAN bagi mencapai salah satu ciri muwasofat tarbiah iaitu sihat tubuh badan.

Liga Bola Sepak HALUAN Wilayah Tengah ini disertai tiga pasukan dari negeri di sekitar wilayah tengah iaitu WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur dan Selangor. Ia bermula Disember 2015 dan dijadualkan berakhir pada April 2016.

Perlawanan pembukaan antara Putrajaya, berjersi hijau, menentang Selangor berjersi hitam, dimulakan pada pukul 8.30 pagi setelah acara sepak mula disempurnakan oleh Encik Baderol Allam sebagai simbolik kepada perasmian acara keseluruhan liga. Perlawanan berlangsung secara tiga kali separuh masa, setiap separuh masa selama 20 minit.

Pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan menunjukan serangan balas yang sengit sehingga berkesudahan tanpa sebarang jaringan. Pada separuh masa kedua pertukaran pemain dan strategi setiap pasukan banyak mengubah rentak permainan memberikan kelebihan kepada pasukan Selangor menjaringkan dua gol pada minit ke 25 dan 35 oleh Muaz Ramli.

Kelemahan pada barisan pertahanan pasukan Putrajaya terus diperkemaskan semula pada separuh masa ketiga. Wisel penamat dengan keputusan penuh adalah Selangor 2 – Putrajaya 0. Perlawanan timbal balik antara pasukan Selangor yang bakal menerima kunjungan pasukan Putrajaya dijadualkan pada 3 April 2016.

Perlawanan kedua liga dijadualkan akan berlangsung di Shah Alam pada 10 Januari 2016 di antara pasukan Selangor selaku tuan rumah melawan pasukan Kuala Lumpur. Seterusnya perlawanan ketiga liga dijadualkan 21 Februari 2016 di mana pasukan tuan rumah Kuala Lumpur akan bertemu pasukan Putrajaya di Gombak.

Setelah tamat perlawanan, Encik Hamdan Mokhtar mewakili pengurusan pasukan Selangor menyampaikan ucapan penutup perlawanan.


Laporan Muhammad Nabil Jamalludin, Urusetia Liga Bola Sepak HALUAN Wilayah Tengah

Ucapan Perasmian oleh Encik Baderol Allam, YDP HALUAN Putrajaya

Taklimat oleh Encik Hamdan, Pengarah Liga Bola Sepak

Keseluruhan pasukan Putrajaya & Selangor

Kesebelasan pertama setiap pasukan

Perlawanan sengit berlangsung antara dua pasukan

Ucapan penutup oleh Hamdan Mokhtar, wakil Pengurus Pasukan Selangor