fbpx

BHF Lancar Bengkel Interpersonal Dakwah Kepada NYMs

BHF Lancar Bengkel Interpersonal Dakwah Kepada NYMs

BHF Lancar Bengkel Interpersonal Dakwah Kepada NYMs

BANDAR BARU BANGI, 14 Sep 2019 – Biro HALUAN Fitrah (BHF) telah menganjurkan  Bengkel Interpersonal Dakwah kepada Not Yet Muslims (NYMs) di sini bertujuan melatih sukarelawannya kaedah berinteraksi secara efektif dan spontan dalam berkongsi Islam.

Seramai 30 orang peserta telah perolehi manfaat daripada bengkel yang dilaksanakan di  Kolej Teknologi Darulnaim Cawangan Kuala Lumpur.

Program bermula jam 8.30 pagi dengan ketibaan dan pendaftaran para peserta diikuti dengan sesi bacaan al-Quran dan ucapan aluan oleh Timbalan Yang Dipertua HALUAN Putrajaya, Dr. Nik Mutasim Nik Ab. Rahman. Program diteruskan dengan sesi utama iaitu ceramah interaktif Kemahiran Komunikasi Interpersonal yang disampaikan oleh bekas wartawan, Encik Yusman Nawazir. Beliau merangkakan empat langkah asas yang perlu diterapkan dalam minda setiap ahli BHF apabila berhadapan dengan realiti ketika berdakwah kepada NYMs di Malaysia iaitu STKQ – Senyum, Tegur, Kawan dan Qudwah.

Setiap langkah yang dihuraikan memberi pencerahan kepada para peserta bahawa berdakwah kepada NYMs adalah mudah dan hanya perlu dipraktikkan mengikut teknik yang telah diberikan. Selanjutnya, program diteruskan dengan sesi soal jawab pada jam 12.30 tengahari bagi membuka ruang kepada para peserta bertanyakan persoalan yang berkaitan.

Program diteruskan lagi dengan sesi taklimat simulasi etnik pada jam 2.00 petang yang dikendalikan oleh Cik Adlina Selamat. Pada slot ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Tiga tetamu yang merupakan mualaf telah dijemput hadir untuk menjayakan slot latihan berkenaan. Mereka terdiri daripada Cik Aminah Abdullah, Encik Rafi Ooi dan Encik Mohd Naim Daniel Sathiasuddin untuk melengkapkan sesi simulasi suasana pengalaman sebenar ketika berdakwah kepada NYMs. Setelah para peserta berada dalam kumpulan masing masing, sesi simulasi etnik pun bermula tepat pada jam 2.30 petang.

Selanjutnya adalah sesi refleksi bersama para peserta dan juga tetamu mualaf berkenaan.  Peserta Puan Syamimi Samuin berkata pengalaman yang beliau dapati melalui sesi simulasi itu memberikan gambaran yang sebenar ketika berdakwah kepada NYMs di mana mereka perlu mempraktikkan langkah-langkah yang telah diterangkan dalam ceramah. Tambah beliau, pendakwah perlu berinteraksi dengan NYMs yang disasarkan mengikut kesesuaian keadaan.

Menurut Aminah Abdullah pula, setelah menganalisa para peserta dalam kumpulan berdasarkan simulasi yang diberikan, beliau menyimpulkan bahawa para peserta perlu berlatih lebih lagi supaya suasana ketika berdakwah tidak terasa janggal. Selain itu, beliau menambah apabila berdakwah kepada NYMs, pendakwah tidak disarankan untuk mengerumuni mad’uu beramai-ramai, dan tidak menghujani mereka dengan pelbagai soalan secara berterusan. Ini akan membuatkan mereka menjadi kurang selesa. Faktor “K” atau berKawan yang diajar sebelum itu bermaksud membuat NYM berkenaan merasa senang dan selesa bila berinteraksi dengan rakan yang Muslim.

Bengkel tersebut adalah yang julung kali dianjurkan oleh BHF dengan kerjasama BHF cawangan Putrajaya. Majlis perasmian penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Yang Dipertua HALUAN Putrajaya Putrajaya, Sr. Baderol Allam Awang. 

___
Laporan Siti NurKhadijah Sullahaji, Biro HALUAN Fitrah