fbpx

Bestlah 3M!

Bestlah 3M!

Bestlah 3M!

Shah Alam, Okt 3, 2011  –  Best! Itulah rata-rata pendapat peserta ke program Motivasi Minda Medik (3M) yang tamat semalam. Program pagi hingga ke petang itu disertai lebih 80 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi Malaysia daripada kursus perubatan, pergigian dan paramedik.


Di antara peserta yang pertama kali hadir di program 3M anjuran Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan HALUANSiswa Health Sciences (HS2) ini adalah lapan pelajar dari Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Alam di mana kursus-kursus paramedik dipusatkan.

Menurut Shafiqa Aminudin, pelajar ijazah tahun 3 bidang fizioterapi, inilah kali pertama beliau menghadiri program tersebut. ”Inputnya sangat baik sekali. Sebelum ini saya ada membaca tentang fiqh perubatan tapi ini kali pertama saya dapat hadiri bengkel berbincang dengan kawan-kawan dan para doktor seniors. Dah lama teringin nak sertai program sebegini,” katanya kepada pemberita HALUAN.

Teman sekelas beliau, Nur Hamizah Saidin bersetuju bahawa 3M sangat bermanfaat untuk bidang fizioterapi. Katanya sebelum ini beliau teragak-agak juga di dalam proses merawat pesakit tetapi setelah dibengkelkan, banyak ilmu baru yang diperolehi. ”Dari dulu unsur kesedaran Islam tidak pernah dibincangkan. Saya bersyukur datang sini kerana saya mula nampak peranan Islam di dalam karier saya”.

Bagi Shilla Atika Jamil, pelajar ijazah tahun 2 bidang teknologi makmal perubatan, 3M telah mampu membuka minda beliau setelah menghadiri program tersebut. Pertemuan dengan para pelajar lain di bidang berkaitan banyak membantu beliau untuk memotivasikan diri dan program sebegini harus diadakan dengan lebih kerap lagi, katanya.

Presiden Persatuan Misi Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan (FORCE) UiTM, Faizal Ishak melahirkan hasrat agar lebih ramai lagi ahli persatuan tersebut dapat menyertai program 3M ini di masa hadapan untuk mengembangkan minda mereka di dalam kursus yang dipelajari di kampus. Beliau bersyukur kerana KKH telah membantu FORCE sejak setahun yang lalu di dalam membentuk modul latihan bersepadu serta melatih ahli-ahlinya yang kini mencecah lebih 500 orang pelajar.

Program sehari suntuk 3M itu disertai lebih 80 pelajar daripada beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka terdiri daripada para pelajar di bidang perubatan, pergigian, kejururawatan, fizioterapi, imbasan medikal, kesihatan persekitaran, teknologi makmal perubatan, farmasi, terapi pekerjaan dan sebagainya.