fbpx

Jenazah Hj Mohamad Sabri selamat dikebumikan di Cheras

Jenazah Hj Mohamad Sabri selamat dikebumikan di Cheras

Jenazah Hj Mohamad Sabri selamat dikebumikan di Cheras

Cheras, 28 Sept 2011 — Jenazah Tn Hj Mohamad Sabri Ibrahim yang pulang ke rahmatuLlah pada jam 4.40 pagi tadi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.


Allahyarham yang merupakan bendahari HALUAN telah meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri berikutan serangan stroke beberapa hari sebelumnya.

Solat jenazah Allahyarham telah disempurnakan di Masjid Al-Mukhlisin, Taman Alam Damai dengan diimamkan oleh anakanda beliau Mohamad Shafik Mohamad Sabri, 16 tahun, pada jam 9:50 pagi. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan masjid tersebut sejurus selesai solat jenazah.

Allahyarham meninggalkan 7 orang anak dan seorang isteri, Hjh Sharihan Shaari.

Selain dari jasa beliau sebagai bendahari HALUAN, Allahyarham juga merupakan seorang yang  gigih berbakti di tempat kerja beliau di FELCRA. Beliau juga merupakan seorang setiausaha di Masjid Al-Mukhlisin.

HALUAN mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada semua ahli keluarga dan sahabat-sahabat Allahyarham. Semoga pemergian beliau diterima dengan tabah dan menjadi pengajaran kepada kita semua untuk hidup dengan penuh taat kepada Allah, dan bersedia menghadapi kematian yang akan menimpa setiap manusia tanpa kecuali.

Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan – surah Aali Imran, ayat 185.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan mengampuni semua dosa dan kesalahan beliau. Semoga Allah menerima semua amal soleh yang beliau kerjakan.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa ’afihi wa’fu’anhu. Al-Fatihah.