fbpx

Berkayak Melebarkan Ukhuwah

Berkayak Melebarkan Ukhuwah

Berkayak Melebarkan Ukhuwah

TELUK KUMBAR, PULAU PINANG, 28 Mac 2012 -– Seramai 100 orang ahli HALUAN Cawangan Pulau Pinang bersama masyarakat setempat telah menjayakan program ‘Ayuh Berkayak’ di Pusat Sukan Air Teluk Kumbar.

Program yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia Cawangan Pulau Pinang ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim bersama masyarakat setempat. Aktiviti berkayak ini turut disertai oleh 20 orang pelajar sekolah berdekatan, iaitu Sekolah Menengah Agama Ibrah dan Sekolah Agama Bantuan Kerjaan Kampung Rawa.

Sesi motivasi bersama Prof Dr Zubir Mat Jefri, seorang pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, menjadi acara pembukaan untuk program ini. Dalam syarahan belia, Prof Dr Zubir telah menekankan kepentingan untuk memberi keseimbangan bagi keperluan tubuh badan.

Ketua Biro Motivasi dan Kaunseling HALUAN Cawangan Pulau Pinang, Sdr Mohd Shapiee Hashim berkata bahawa ini merupakan kali keempat program seumpamanya diadakan. “Alhamdulillah program ini semakin mendapat sambutan daripada masyarakat. Saya melihat semua peserta yang hadir pada kali ini terdiri daripada semua peringkat umur dan mereka bersemangat dari mula hingga akhir program”, kata Sdr Mohd Shapie.

Sebelum melakukan aktiviti berkayak, semua peserta diwajibkan mengikuti sesi “water confidence” yang merupakan pra-syarat kepada sebarang aktiviti berkayak. Sesi tersebut telah dikendalikan oleh seorang jurulatih bertauliah daripada Pusat Kokurikulum Negeri Pulau Pinang.

“Saya berharap supaya program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan dapat menjadikan aktiviti berkayak ini sebagai satu terapi dan amal ibadah yang diterima oleh Allah,” kata Sdr Mohd Shapie lagi.