fbpx

Baitulmaqdis Hanya Boleh Dibebaskan Cara Rasul SAW

Baitulmaqdis Hanya Boleh Dibebaskan Cara Rasul SAW

Baitulmaqdis Hanya Boleh Dibebaskan Cara Rasul SAW

BANDAR BARU BANGI, 22 Dis 2018 — Usaha membebaskan dan mengembalikan keamanan sejati di Baitulmaqdis hanya boleh dicapai apabila kita mencontohi kaedah dan langkah yang telah diambil oleh Rasulullah SAW, yang kemudiannya diikuti secara teliti oleh pembebas terakhir kota suci itu, Salahuddin al-Ayyubi.

Demikian adalah salah satu daripada rumusan penting dalam Bengkel Akademik Khas Tentang Pengajian Baitulmaqdis yang disertai oleh hampir 50 peserta di kampus Kolej Teknologi Darulnaim Kuala Lumpur (KTDKL). Bengkel intensif selama dua hari itu berakhir hari ini.

Bengkel akademik tersebut diadakan secara kerjasama antara HALUAN, Institute of Excellence in Islamic Jerusalem Studies (IEIJS) di Universiti Utara Malaysia, Institut Al-Aqsa Untuk Riset Perdamaian (ISA) di Jakarta, dan KTDKL, dengan membawa tokoh dalam kajian Baitulmaqdis, Profesor Dr. Abd Al-Fattah El-Awaisi.

Prof. Dr. Abd Al-Fattah El-Awaisi adalah pengasas pengajian Baitulmaqdis di Universiti Stirling, Scotland, pada tahun 1990-an. Beliau juga mengasas Islamic Jerusalem Research Academy yang berpusat di Istanbul. Kini beliau menjadi seorang profesor dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti Sains Sosial Ankara (ASBU), Turki. Beliau juga adalah Profesor Tamu Kehormat Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dilahirkan di kota al-Khalil, Dr. Abd Al-Fattah membesar di sekitar Baitulmaqdis dan amat sebati dengan suasana di Masjid al-Aqsa. Beliau bahkan pernah mengajar di Masjid al-Aqsa selama tiga tahun. Bagaimanapun, kezaliman Zionis turut memberi kesan mendalam ke atas Dr. Abd Al-Fattah dan keluarganya, sehingga beliau akhirnya dipaksa berhijrah menjadi warga Britain dan menetap di Dundee, Scotland.

Menurut Dr. Abd Al-Fattah, bengkel ini adalah usaha yang pertama seumpamanya pernah diadakan di Malaysia.

Para peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting dalam memahami perjuangan membebaskan Baitulmaqdis, bermula daripada penegasan tentang pentingnya persiapan ilmu dan makrifah, penilaian semula terhadap terminologi, geopolitik Baitulmaqdis, model perjuangan pembebasan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW, sehinggalah kepada model keamanan yang dibawa oleh pemerintahan Islam di Baitulmaqdis.

Berkenaan terminologi, Dr. Abd Al-Fattah antara lain menyarankan supaya diguna kembali istilah-istilah yang digunakan Rasulullah SAW sekaligus menghidupkan kembali sunnah Baginda yang kini semakin dilupakan. Rasulullah SAW tidak menggunakan perkataan Palestin, Jerusalem, atau Quds, tetapi Baitulmaqdis. Baginda merujuk Baitulmaqdis dalam hadis-hadis sebagai sebuah kawasan tanah suci, sepertimana Mekah dan Madinah.

Di akhir bengkel, Dr. Abd Al-Fattah telah merumuskan beberapa fakta penting dalam merancang usaha pembebasan Baitulmaqdis. Tunggaknya adalah dengan membebaskan umat Islam daripada krisis ilmu dan intelektual. Pendekatan yang diambil haruslah mencontohi Rasulullah SAW, yang menekankan persiapan rapi sahabat-sahabat Baginda dalam elemen ilmu, politik dan juga ketenteraan.

Di peringkat individu, menurut Dr. Abd Al-Fattah, setiap aktivis haruslah memahami dengan mendalam mesej al-Quran dalam Surah al-Isra’ serta beberapa surah lain berkaitannya, termasuk surah at-Tin. “Berjanjilah kepada diri kamu, bahawa kamu akan memberi yang terbaik bagi membantu pembebasan Baitulmaqdis,” seru beliau di akhir syarahannya.

Bengkel yang sangat bermakna ini diakhiri dengan keraian persaudaraan, di mana Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Pengarah IEIJS, Dr. Aminurraasyid Yatiban, Pengarah ISA, Santi Soekanto, serta Dr. Abd Al-Fattah bertukar-tukar cenderahati.

Semoga usaha kerjasama HALUAN kali ini menjadi permulaan kepada wawasan pembebasan Baitulmaqdis yang lebih jelas dan strategik, dan disusuli dengan program-program bagi mendalami dan menyebarluas isu Baitulmaqdis.

_
Laporan unit mediaHALUAN