fbpx

Azam Dan Semangat Tinggi Mengakhiri JDK Zon Timur

Azam Dan Semangat Tinggi Mengakhiri JDK Zon Timur

Azam Dan Semangat Tinggi Mengakhiri JDK Zon Timur

KUANTAN, 16 Feb 2013 — Kursus Jati Diri dan Kesukarelawan Remaja (JDK) Zon Timur 2013 di sini berakhir dengan suasana penuh semangat dan keazaman yang tinggi daripada para peserta dan juga barisan fasilitator yang terlibat.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menjadi kem JDK Zon Timur telah melakarkan sejarah bilamana seramai 65 peserta lepasan SPM telah berkampung di sini selama tiga minggu dengan tekad yang waja. Mereka seolah-olah sudah bersedia untuk berada di menara gading dengan memikul amanah harapan dan cita-cita ibubapa mereka.

Setelah mereka melalui sembilan buah modul dengan penuh minat merangkumi santapan rohani, aqli, emosi dan jasadi, adalah diharapkan mereka mampu meningkatkan jati diri untuk menjadi remaja yang soleh dan musleh.

Jelas terbayang di wajah mereka suatu kepuasan dan kegembiraan kerana telah terpilih menyertai program JDK ini yang mereka ibaratkan sebagai suatu program yang “super luarbiasa”. Walaupun pada peringkat awalnya mereka merasa terasing kerana terpaksa mengikuti syarat dan disiplin yang ketat, namun hati mereka teruja setelah menerima sentuhan tarbawi daripada pakcik dan makcik serta barisan abang dan kakak fasilitator HALUANSiswa yang mesra dan prihatin.

Perasmian majlis penutup JDK Zon Timur yang diadakan di Dewan Utama UMP di sini telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung HALUAN Malaysia, Encik Mohd Ghani Salleh.

Dalam ucapan penutupnya, beliau mengingatkan peserta bahawa program JDK yang berlangsung selama tiga minggu tersebut sebenarnya baru bermula. “Bermula dalam ertikata inilah cabaran sebenar peserta untuk mempraktikkan ilmu dan pengajaran yang telah mereka timba dan pelajari. JDK ini ibarat seperti peralatan ‘akubator’ yang memeram telur-telur penyu di mana setelah menetasnya telur penyu tersebut maka bermulalah cabaran sebenar kehidupan anak-anak penyu di lautan yang luas dan dalam,” kata beliau.

Begitulah perumpamaan JDK di setiap zon yang dijalankan oleh HALUAN Malaysia setiap tahun. Cabaran peserta yang sebenar adalah bagaimana hendak mengekalkan momentum jatidiri mereka supaya dapat diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja kesukarelawanan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara dengan ikhlas tanpa alasan atau harapan imbuhan.

Selepas ini mereka akan melangkah kaki ke menara gading. Di sana cabaran besar menanti mereka bagi menggalas harapan ibubapa dan keluarga di samping bersedia menjadi pemimpin dan peneraju dalam kerja amal dan dakwah di kampus.

Pengarah Kem JDK Zon Timur 2013, Encik Mohd Jamil Muda semasa ucapan perpisahannya merakamkan perasaan terharu kerana para peserta JDK ini dapat menerima semua modul yang telah diterapkan kepada mereka dengan baik. Beliau sanjung komitmen mereka yang sangat tinggi itu.

Majlis penutupan berakhir dengan penyampaian sijil dan hadiah serta ikrar janji setia peserta. Sijil telah disampaikan oleh Encik Mohd Ghani diiringi oleh Tg Abd Rashid Tg Othman selaku Pengarah Program JDK Zon Timur merangkap YDP HALUAN Cawangan Pahang, dan Encik Mohd Jamil Muda.

Dua orang peserta dari kumpulan syabab dan nisa` telah terpilih sebagai peserta mithali terbaik iaitu Sayyid Muhammad Al Haddad Syed Helmi dari Johor dan Nurul Husna Nazri dari Pahang.

HALUAN Pahang selaku tuan rumah merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Program JDK Zon Timur 2013 ini khususnya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), serta pihak pengurusan UMP yang telah bekerjasama menyediakan kemudahan dengan selesa. Tidak ketinggalan juga ketua-ketua biro dalam HALUAN Malaysia, fasilitator daripada HALUANSiswa dan semua AJK Urusetia HALUAN dari Terengganu, Kelantan dan Johor. Semoga Allah SWT meredhai program ini sebagai amalan soleh dan wasilah bagi menyediakan barisan pendokong yang akan meneruskan kerja-kerja dakwah dan amal Islami di masa akan datang.


Laporan mediaHALUAN cawangan Pahang.