fbpx

Sayu Dan Suka Penutup JDK Zon Tengah

Sayu Dan Suka Penutup JDK Zon Tengah

Sayu Dan Suka Penutup JDK Zon Tengah

SHAH ALAM, 16 Feb 2013 — Perit rasanya hendak berpisah setelah tiga minggu berinteraksi dan berukhwah. Begitulah keluh wakil peserta Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 Zon Tengah dalam ucapan perpisahan mereka yang tamat hari ini di Kem Bumi Jati di sini.

Muhammad Azim Mahyiddin merasakan jangkamasa tiga minggu itu terlalu cepat berlalu setelah hati bertaut mesra dalam perkenalan kursus tarbawi ini. Tiga minggu kini terasa bagai tiga hari sahaja. Pelbagai ilmu diperolehi untuk membekali setiap peserta dalam menongkah arus di menara gading nanti.

Namun saat perpisahan setelah ukhuwah kasih tertaut ibarat sembilu yang menusuk kalbu. Berat hati hendak meninggalkan kawan yang kini sudah menjadi sahabat seperjuangan. “Walau terpaksa berpisah, kita mungkin jauh di mata namun akan tetap dekat di hati,” katanya memujuk hampir 70 peserta di kem itu. Ada yang kelihatan mengesat airmata. Yang jelas, objektif kehadiran para peserta di JDK tercapai dengan sembilan modulnya yang cemerlang.

Pengarah JDK Zon Tengah Ir. Megat Saidi Nik Ngah mengibaratkan penyertaan peserta lepasan SPM tersebut itu “suatu anugerah daripada Allah SWT” untuk memberi mereka peluang memupuk sahsiyah mulia dengan jatidiri yang mantap. Dengan itu, mereka nanti akan menjadi pemangkin efektif untuk mengislahkan masyarakat ke arah mentaati perintah Allah SWT.

“Jadilah seperti ikan di laut dalam. Pekat masin garamnya namun isinya tetap tawar boleh dimakan. Tingkatkanlah kemahiran bermasyarakat demi masa depan. Ke arah mana anak-anak ingin kemudi arah hidup anda selepas ini, kini jelas jawapannya,” katanya, sambil meminta mereka mempromosikan JDK kepada generasi yang lebih muda.

Ir. A Aziz Mat Ali selaku Yang DiPertua HALUAN Cawangan Selangor dalam ucapan penutupnya berkata kemampuan remaja memang luar biasa. Dalam masa yang amat suntuk, mereka mampu menghasilkan sesuatu bahan yang boleh memberikan impak yang agak besar kepada masyarakat.

“Seperti persembahan pementasan penutup semalam. Ada kumpulan yang mampu mempamerkan lakonan yang dapat menyentuh kalbu penonton terdiri daripada ibubapa dan juga jemputan yang hadir. Ini terserlah daripada kesedaran yang lahir natijah daripada latihan modul-modul yang berkesan dalam JDK. Selama 20 hari kesedaran dan kefahaman ini masih tidak mencukupi. Menanti di sana adalah pelbagai pancaroba yang harus anda tempuhi. Soalannya ialah bagaimana kita mampu membawa Islam ke tengah-tengah kehidupan kita. Harapan saya adalah 20 hari ini akan memampukan anda untuk merubah diri menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Ambillah langkah menuju kepada Allah SWT. Pasti tak rugi,” ulasnya.