fbpx

Sejuta Kenangan Manis Peserta Remaja JDK Zon Utara

Sejuta Kenangan Manis Peserta Remaja JDK Zon Utara

KUALA KANGSAR, 16 Februari 2013 – Kasih ukhuwah tertaut setelah selama 22 hari peserta lelaki dan perempuan bergabung dalam Kursus Jati Diri Dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 Zon Utara di Kem Batu Ampar Resort di sini. Mereka telah berjaya menamatkan kursus ini dengan cemerlang sekali.

Yang Dipertua HALUAN Negeri Perak, Encik Amran Yeop Zahari berkata penyertaan seramai 84 remaja JDK di Zon Utara pada kali ini adalah terramai berbanding dengan zon timur dan wilayah tengah.

“Saya berharap kita dapat menjadikan JDK ini sebagai satu kenangan yang terindah dalam kehidupan remaja kita sambil mempersiapkan minda kita ke arah menjadi mahasiswa yang penuh iltizam dan bersungguh untuk cemerlang di IPT nanti ”, katanya kepada mediaHALUAN.

Selain itu, JDK Zon Utara menyelitkan slot tambahan yang melibatkan agensi-agensi kerajaan sebagai pendedahan kepada peserta JDK. Antara agensi yang terlibat adalah Anti Dadah Kebangsaan (ADK), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nur Najihah Azhari, 18, yang merupakan bekas pelajar SABK Maahad Al Imam Asy Syafiee berkata beliau rasa sangat seronok menyertai JDK ini kerana suasananya berbeza daripada kem yang pernah disertainya sebelum ini kerana JDK ada banyak suasana yang mendidik hati dan jiwa.

“Isi program JDK ini banyak menyentuh tentang isu semasa dan dapat memantapkan rohani. Dan ilmu yang baru saya dapat semasa berprogram di sini adalah bagaimana hendak berdakwah kepada non-Muslim,” katanya. Menurut Najihah, slot sukan dan rekreasi patut dilanjutkan lagi kerana banyak lagi ilmu mengenai ikhtiar hidup yang belum sempat dipelajari oleh para peserta.

“Selepas menyertai JDK, saya dah mula nampak halatuju hidup saya. Pada masa yang sama saya rasa kecewa kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan yang telah bersama mengeratkan silaturahim selama 22 hari,” kata Muadz Asri, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Ibnu Khaldun.

“Saya berharap pihak urusetia dapat meneruskan kem seperti ini pada masa akan datang dan kem ini bukanlah tempat memulihkan hati yang biasa tetapi memberi semangat dan harapan kepada peserta untuk terus tabah menghadapi ujian kehidupan,” katanya lagi.

Nur Jannah Ramadhan, 18, berkata beliau gembira dapat menghadiri kursus sebegini kerana dapat berjumpa kawan-kawan baru dari seluruh Malaysia di samping mendapat banyak ilmu yang baru. Beliau juga gembira kerana dapat menemui diri yang baru kerana kini beliau lebih berkeyakinan untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Keyakinan ini tidak diperolehi di sekolah sebelum ini.

Muhammad Nabil Aiman Mohd Sabri, 18, seorang bekas pelajar Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) berkata tanggapan beliau terhadap kursus JDK pada hari pertama adalah membosankan tetapi ianya semakin hilang sepanjang masa kursus sehinggalah majlis penutupnya tiba. “JDK ini sangat menarik. Ia membuatkan saya memahami apa itu tarbiyah dan dakwah serta secara tidak langsung dapat mengenali tentang HALUAN. Juga saya lebih yakin untuk melangkah masuk ke universiti nanti. Tambahan pula resort ini terletak bersebelahan sungai air terjun dan dalam rimba yang sangat nyaman. Kawasan persekitaran ini amat sesuai dengan jiwa saya yang menggemari suasana alam ciptaan Allah SWT dan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengikut perjalanan setiap slot,” katanya lagi.

Majlis perasmian penutup JDK Zon Utara telah disempurnakan oleh Cikgu Mohd Abduh Zainal Abidin selaku Penasihat Kursus Jati Diri Dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013.


Berita oleh Muhammad Suhaib Bin Mohd Shapiee