fbpx

Anak Muda Berjiwa Cakna Gegarkan Stadium Perak

Anak Muda Berjiwa Cakna Gegarkan Stadium Perak

Anak Muda Berjiwa Cakna Gegarkan Stadium Perak

stadium-01IPOH, 8 Feb 2014 – Kepedulian dan sikap cakna akan nasib yang menimpa saudara semuslim di Syria dan Palestin yang terhimpit di antara kezaliman pemerintah serta pihak Zionis Israel telah memberikan kesan yang mendalam kepada umat Islam di seluruh dunia.

Atas kesedaran inilah, sekumpulan anak muda yang berjiwa besar dari Kelab Belia HALUAN Ipoh (KBHI) telah mengambil inisiatif bagi membantu saudara seaqidah ini dengan menggerakkan satu projek khas yang dinamakan Kutipan Dana Buat Palestin dan Syria.

Projek kali ini agak berlainan daripada selalu, kerana mereka telah menjalankan kutipan ini di perkarangan Stadium Perak bersempena perlawanan bola sepak di antara pasukan negeri Perak dan Kelantan. Ternyata kehadiran mereka telah menggegarkan stadium Perak dengan isu kemanusiaan dan menyuntik kesedaran kepada para penonton dan penyokong yang hadir tentang nasib yang menimpa saudara-saudara kita yang sedang ditimpa kesusahan dan keperitan.

Projek ini dimulakan seawal jam 4.00 petang dengan sesi taklimat program oleh pengarah program Encik Muhammad Ridhwan Abdul Rahman di pejabat HALUAN Perak. Beliau memulakan gerak kerja projek dengan beberapa pesanan dan juga kata-kata semangat untuk semua 25 orang ahli dan relawan KBHI yang hadir memberikan sumbangan khidmat mereka dalam menjayakan kutipan amal tersebut.

Kutipan dimulakan pada jam 5.30 petang dengan agihan secara berkumpulan dengan menempatkan para relawan di pintu masuk kawasan penyokong. Di samping itu, terdapat juga kumpulan yang bertugas untuk menjaga gerai pameran yang memuatkan perkembangan dan berita terkini yang berlaku di Syria dan Palestin.

Secara umumnya, projek ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan peminat bolasepak yang hadir serta peniaga-peniaga di perkarangan stadium tersebut. Tentunya, projek ini merupakan suatu pengalaman yang baru bagi kebanyakan ahli dan relawan kelab terutamanya dalam membuat kutipan di khalayak ramai dan secara tidak langsung, ia mampu melatih mereka untuk membuang perasaan malu dalam membuat perkara kebaikan.

Semoga usaha dan sumbangan yang telah diberikan akan menjadi saksi dan bekalan mereka di akhirat kelak. Kutipan dana ditamatkan sekitar jam 9.30 malam semasa perlawanan sedang berlangsung dengan jumlah kutipan yang diperolehi sekitar RM 2,000. Di akhir projek Kutipan Dana Untuk Palestin dan Syria ini, pengarah program telah memberikan satu kesimpulan yang benar-benar menggegarkan jiwa para anak muda yang turun padang menyumbang tenaga, masa dan fikiran mereka untuk misi kali ini.